Mengangkasa bangsa -- Ke arah tingkatkan Melayu melampaui pencapaian biasa

Oleh AZNAN BAKAR


Najib Tun Razak bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (dua dari kanan) menyanyikan lagu UMNO bersama barisan pemimpin Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri ketika merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap parti itu di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar Zaini Husin.

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kejayaan yang dicapai orang Melayu perlu ditingkatkan ke tahap lebih tinggi dan melampaui pencapaian biasa bagi membina tamadun yang boleh disifatkan sebagai bangsa angkasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden UMNO berkata, dalam persaingan global sekarang, tidak cukup sekadar mengantarabangsakan orang Melayu, sebaliknya Melayu perlu mencipta kejayaan yang luar biasa supaya dapat diangkat ke tahap lebih tinggi iaitu dengan mengangkasakan mereka.

Prasyarat utama kepada usaha ‘Mengangkasa Tamadun Bangsa’ yang ingin dibina itu, kata Najib, ialah memastikan persekitaran politik kekal stabil di samping keamanan, keharmonian dan kemakmuran terus terpelihara.

Katanya, UMNO melalui sayap Wanita, Pemuda dan Puterinya mesti bersatu tenaga memastikan kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang demi mencapai hasrat Mengangkasa Tamadun Bangsa.

“Bangsa angkasa atau space nation adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi.

“Bangsa angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan.

“Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini. Kira-kira 2,200 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri menghadiri persidangan itu.

Mengulas lanjut mengenai konsep Mengangkasa Tamadun Bangsa, Najib berkata, istilah ‘mengangkasa’ yang dimaksudkan ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan, impian dan cita-cita.

“Ia boleh juga bermakna menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada kini ke tahap yang lebih tinggi.

“Ia bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti,” jelasnya.

Katanya, peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad diangkat Allah ke langit Sidratulmuntaha, sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir oleh manusia termasuk mengangkasa tamadun bangsa.

0 comments: