KUALA LUMPUR 5 Nov. – Agenda Melayu merupakan satu agenda nasional kerana jika kaum Melayu maju ia akan menguntungkan semua pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Presiden UMNO berkata, dengan matlamat agenda Melayu dicapai, perpaduan rakyat juga akan bertambah kukuh sementara negara pula akan terus bersinar di ufuk yang aman dan makmur.
Beliau berkata, agenda tersebut meliputi sosioekonomi, pendidikan, pembangunan yang adil serta usaha mendaulatkan agama Islam demi maslahat umum.
Justeru, beliau mahu semua kaum lain di negara ini memahami mengenai agenda yang telah digariskan itu.
“Agenda Melayu tetap menjadi agenda UMNO yang utama kerana Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai bidang.
“Untuk itu kita telah menyuratkan pelbagai perkara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membela bangsa. Kaum lain wajar sentiasa memahami bahawa jika Melayu maju, ia akan menguntungkan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai gagasan yang besar untuk diperjuangkan dalam usaha membela nasib kaum Melayu dan rakyat di negara ini.
Antara gagasan besar itu, katanya, ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020, pendekatan Islam Hadhari, Misi Nasional, pembangunan seimbang melalui lima koridor dan Gagasan 2057.
‘‘Kita juga mesti terus memantapkan politik, menguasai ilmu dan pendidikan, memurnikan sosiobudaya serta terlibat aktif dalam ekonomi sewaktu meniti arus gelombang globalisasi,’’ katanya lagi.
Dalam ucapan itu, beliau menarik perhatian hadirin dengan menyatakan segala perkara yang berkaitan dengan persiapan rakyat dan generasi akan datang menjadi amanah kepada UMNO dan pimpinannya.
‘‘Tanggungjawab berat ini mesti kita galas, mesti kita dokong demi memastikan obor gagasan besar perjuangan bangsa terus marak menyala menyinari seluruh pelosok negara,’’ tambahnya.
0 comments:
Post a Comment