Amanat Presiden minta rakyat berjimat cermat

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat berjimat cermat mulai sekarang sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan harga barang ekoran kenaikan harga minyak yang terus melambung di pasaran dunia.

Beliau yang juga Presiden UMNO juga mahu pemimpin UMNO di semua peringkat memberi penjelasan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi serta rakyat mengenai situasi ekonomi yang dihadapi sekarang serta kemungkinan yang berlaku jika harga bahan bakar itu terus meningkat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, jika harga minyak meningkat lebih tinggi pada masa akan datang yang di luar kawalan kerajaan, Perdana Menteri mahu rakyat dipersiapkan dari segi minda dan pengurusan kewangan yang lebih berhemah.

Katanya, Abdullah mahu rakyat bersedia serta mampu menyerap peningkatan kos sara hidup yang berlaku.

“Perdana Menteri mahu rakyat faham kadar tanggungan kerajaan dalam bentuk subsidi begitu besar dan kalau harga minyak meningkat lebih tinggi pada masa akan datang, bagaimana rakyat harus dipersiapkan dari segi minda, pengurusan diri dan keluarga mereka supaya berjimat serta tidak ada pembaziran. Itu yang penting bagi kita,” ujarnya.

Muhammad berkata demikian ketika ditanya mengenai isu-isu yang disentuh oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini.

Taklimat itu disertai hampir 5,000 perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO mulai hari ini hingga 9 November ini.

Mereka termasuk 791 perwakilan dari Pergerakan Wanita, 787 perwakilan Pemuda dan 773 perwakilan Puteri.

Amanat selama hampir sejam itu menyentuh pelbagai isu berkaitan parti dan negara khususnya isu-isu semasa yang melibatkan rakyat secara langsung.

Menurut Muhammad, antara isu yang disentuh ialah harga minyak yang meningkat dan kesannya terhadap barangan keperluan pengguna.

Beliau berkata, semua pemimpin UMNO perlu memahami situasi ekonomi dan kenaikan harga minyak yang melambung supaya mereka dapat menyampaikan perkara itu dengan jelas kepada rakyat.

Katanya, Presiden mahu pemimpin-pemimpin UMNO tidak lepas tangan dalam masalah ini dan meminta mereka membantu kerajaan memikirkan cara untuk mendorong rakyat berjimat-cermat seperti mengurangkan perbelanjaan pada barang-barang yang tidak diperlukan.

“Contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan banyak perbelanjaan yang tidak perlu dilakukan, oleh itu lebih wajar rakyat mengamalkan budaya perbelanjaan berhemah tanpa membazir,” ujarnya.

Muhammad memberikan perbandingan subsidi minyak yang ditanggung kerajaan yang menyebabkan rakyat negara ini menikmati kadar harga petrol yang lebih rendah iaitu RM2 seliter berbanding rakyat Singapura yang terpaksa membayar RM4 bagi seliter bahan bakar itu.

Katanya, Perdana Menteri meminta rakyat membantu kerajaan untuk menyerap kenaikan yang bakal berlaku dengan mengelakkan pembaziran.

“Ini soal penting bagi negara dan rakyat perlu bekerjasama kerana sebarang kemungkinan yang berlaku akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat sendiri.

“Perdana Menteri menjelaskan, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, sukar bagi kerajaan untuk menangani masalah ini terutama jika terpaksa mengeluarkan subsidi yang lebih besar untuk menampung kenaikan harga minyak yang terus berlaku,” ujarnya.

0 comments: