Malaysia ditawar beli kapsul Soyuz

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kerajaan Rusia menawarkan Malaysia membeli kapsul Soyuz yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet untuk dibincang dan diputuskan.

Menurut Jamaluddin, tawaran itu dikemukakan kepadanya ketika beliau menunggu kepulangan Sheikh Muszaphar dari ISS di Moscow pada 21 Oktober lalu.

‘‘Ini merupakan satu idea yang bagus. Bagaimanapun, kita perlu melihat harga kapsul itu terlebih dahulu. Kalau harganya berpatutan, kita mungkin boleh menimbang untuk membawanya balik ke Malaysia.

‘‘Saya percaya jika kita membeli kapsul Soyuz itu, ia akan membakar semangat anak-anak muda untuk menjadi angkasawan negara. Orang ramai boleh melihatnya dari dekat selain cuba menaikinya,” kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Jamaluddin menghadiri majlis meraikan Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed anjuran Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Dewan Bankuet, Parlimen di sini.

Sheikh Muszaphar berlepas ke ISS yang terletak kira-kira 333 kilometer dari muka bumi pada 10 Oktober lalu menggunakan Soyuz TMA-11.

Beliau berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari Rusia.

Selepas 11 hari berada di ISS, Sheikh Muszaphar kembali ke Bumi pada 21 Oktober lalu.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama Komander, Fyodor Yurchikhin dan juruterbang penerbangan, Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakhstan selepas mengharungi perjalanan selama 3 jam 23 minit dari ISS.

Kapsul Soyuz seberat 2,900 kilogram mempunyai kawasan tempat duduk seluas empat meter padu, lebar 2.2 meter dan ketinggian 2.1 meter.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, sokongan rakyat juga amat penting dalam pembelian kapsul Soyuz itu selain mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemilihan angkasawan ketiga akan dimulakan tahun depan.

‘‘Kita akan memberi peluang kepada golongan wanita untuk bergelar angkasawan tetapi ia bergantung kepada prestasi calon wanita itu sendiri semasa mereka menjalani proses saringan nanti.

‘‘Mereka ini akan menjadi sebagai ‘angkasawan sokongan’ kepada Mejar Dr. Faiz Khaleed yang akan menjalankan misi ke angkasa pada 2010 atau 2011,” ujarnya.

Sementara itu, Sheikh Muszaphar menyambut baik cadangan pihak Rusia untuk menjual kapsul Soyuz yang dinaikinya kepada Malaysia.

‘‘Ia adalah baik dan kerajaan boleh mempamerkannya di Muzium Negara sebagai salah satu usaha bagi menyemai minat menjadi angkasawan di kalangan generasi muda masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam ini.

Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed berlepas ke Moscow, Rusia, malam ini, selepas tujuh hari berehat bersama keluarga masing-masing.

Dua angkasawan negara yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) pukul 11.45 malam itu perlu kembali ke Star City di Moscow bagi menyelesaikan beberapa perkara penting.

Menurut Dr. Sheikh Muszaphar, beliau akan menghadiri satu mesyuarat teknikal bersama wakil agensi angkasa lepas Eropah, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ini.

Katanya, pada 8 November pula, Sheikh Muszaphar dan Faiz akan menghadiri majlis pentauliahan secara rasmi sebagai angkasawan oleh kerajaan Rusia.

‘‘Pada majlis itu juga saya akan berucap dalam bahasa Rusia sebagai satu tanda penghargaan terhadap kerjasama dan sokongan dari kerajaan Rusia sepanjang program itu berlangsung.

‘‘Dalam satu atau dua minggu sebelum pulang ke tanah air, saya akan menyambung sesi penyelidikan yang saya lakukan bersama angkasawan lain ketika di ISS,” tambahnya.

Majlis pentauliahan itu dihadiri oleh Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

Turut hadir mengiringi dua angkasawan negara itu adalah bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan ibu bapa Faiz, Khaleed Abdullah dan Mazenah Mohamad.

0 comments: