KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan rakyat supaya bersiap sedia menghadapi realiti masa depan negara yang memungkinkan kerajaan membuat sesuatu keputusan yang tidak popular.
Mesej tegas itu disampaikan Perdana Menteri pada majlis taklimat tertutup Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007.
Dalam taklimat itu, Abdullah dikatakan banyak menyentuh mengenai realiti masa depan negara, antaranya kesan kenaikan harga minyak dunia, pemberian subsidi yang besar termasuk petrol dan kenaikan harga barang serta isu hubungan kaum dan sensitiviti agama.
Beberapa perwakilan yang ditemui pemberita selepas taklimat lebih sejam itu, menjelaskan Presiden parti mahu rakyat bersedia menghadapi cabaran itu dengan bekerja kuat, berhemat dalam perbelanjaan serta lebih berhati-hati dalam membangkitkan isu sensitif.
Menjelaskan perkara yang disampaikan Abdullah, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata Presiden parti menghuraikan cabaran yang akan dihadapi ahli Umno dan orang Melayu supaya mereka lebih bersedia serta mengutamakan perpaduan.
"Kita dah pernah menghadapi bermacam-macam cabaran dan ujian dalam tempoh 50 tahun lalu dan sesetengah daripada cabaran serta ujian itu bukanlah mudah diatasi, tapi terbukti kita berjaya mengeluarkan negara dan rakyat daripada sebarang kemelut yang dihadapi selama ini.
"Presiden yakin berdasarkan pencapaian dan pengalaman kita serta kepimpinan dan perpaduan kita, Insya-Allah apa jua cabaran akan datang kita akan dapat mengatasinya dan selesaikannya dengan cara baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat itu bersama lebih 2,500 perwakilan Umno termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Abdullah mahu ahli Umno terus memberi penekanan terhadap soal modal insan yang menjadi asas untuk melonjakkan pencapaian orang Melayu dan kaum lain.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula berkata Presiden parti mahu pemimpin Umno di semua peringkat menjelaskan isu berkenaan kepada ahli parti dan rakyat termasuk berkaitan sejumlah besar subsidi yang ditanggung kerajaan.
"Beliau juga mengingatkan rakyat supaya dipersiapkan daripada minda, pengurusan diri, keluarga dan mengelak pembaziran sebagai persediaan jika harga minyak meningkat lebih tinggi pada masa depan dan di luar kawalan kerajaan," katanya.
Selain itu, kata Muhyiddin, Abdullah meminta ahli Umno memahami isu berkaitan hubungan antara kaum dan agama supaya dapat membantu kerajaan menjelaskan isu semasa kepada rakyat.
"Ahli dan pemimpin Umno diingatkan supaya tidak mengambil sikap lepas tangan dan mesti mempersiapkan diri dengan segala pengetahuan dan latar belakang untuk membantu pimpinan menangani sebarang masalah," katanya.
Ketua Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Abdullah juga mengingatkan rakyat supaya menerima kenyataan ada ketika kerajaan akan membuat sesuatu keputusan yang tidak popular.
"Kita tak lagi mampu untuk bermewah macam dulu lagi dan sampai satu ketika nanti kerajaan membuat keputusan yang tidak popular kepada semua rakyat," katanya,
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata pada masa ini terlalu banyak subsidi yang diberikan kerajaan bagi membantu rakyat.
Ketika ini, kerajaan membelanjakan RM35 bilion untuk pemberian subsidi atau 87.5 peratus daripada perbelanjaan pembangunan berjumlah RM42 bilion.
"Paling menggerunkan menjelang 2011, kita akan jadi pengimport petroleum dan gas, jika kita tak urus sumber asli kita dengan berhemah," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata taklimat presiden kali ini adalah antara amanat paling penting yang disampaikan Abdullah selepas empat tahun menjadi Perdana Menteri.
"Banyak perkara yang saya rasa penting dan kritikal telah didedahkan Presiden kepada ahli Umno untuk sama-sama kita fikirkan cara terbaik untuk menguruskan masalah dan cabaran berkenaan.
"Apa yang dibangkitkan mungkin belum sampai ke satu tahap yang boleh kita sampaikan kepada masyarakat umum kerana banyak perkara perlu diperhalusi dengan lebih teliti lagi sebelum kita tahu bagaimana nak bertindak sebagai parti dan juga sebagai kerajaan.
"Saya sendiri berpendapat apa yang disampaikan presiden mengenai cabaran masa depan ini memang bukan cabaran kecil.
"Ini cabaran besar dan dalam dewan tadi, tidak ada sebarang bunyi yang boleh kita dengar kerana perwakilan terlalu khusyuk dan mungkin kerana rasa risau serta bimbang dengan cabaran yang digaris dan dibangkitkan Perdana Menteri," katanya.
0 comments:
Post a Comment