PULAU PINANG 5 Nov. – Polis berjaya menahan 34 lelaki dipercayai golongan homoseksual yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral di pusat kesihatan dan sauna di Medan Fettes, Pulau Tikus di sini semalam.
Semua suspek merupakan rakyat tempatan dan seorang rakyat Britain, berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun ditahan dalam Ops Bersih kira-kira pukul 7.30 petang.
Difahamkan, semasa serbuan dilakukan sepasukan polis di premis terbabit yang beroperasi di sebuah rumah kedai, dipercayai satu ‘parti seks’ sedang berlangsung.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, pihaknya turut menemui beberapa kondom yang telah digunakan berselerak di atas lantai di sauna di pusat berkenaan.
‘‘Polis turut merampas 20 majalah untuk golongan homoseksual, empat video cakera digital (VCD) lucah dan enam kotak berisi kondom,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, semua suspek dibawa ke Balai Polis Jalan Patani dan dilepaskan selepas keterangan mereka diambil.
Jelas beliau, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan dengan pihak berkuasa tempatan mengenai status lesen pusat tersebut sama ada ia telah disalah guna atau tidak.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan tidak bermoral seumpama itu di daerah ini dan operasi bagi membanteras aktiviti tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment