KUALA LUMPUR 5 Nov. – Penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, sudah dipindahkan ke wad biasa sejak pada Jumaat lalu dan keadaannya dilaporkan semakin baik.
Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, gadis itu juga sudah boleh berjalan tanpa menggunakan alat bantuan tetapi dia masih perlu menjalani rawatan fisioterapi.
‘‘Bagaimanapun, ada kalanya dia memerlukan alat bantuan berjalan memandangkan dia masih dalam proses latihan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Noor Salina, setiap pagi Hui Yee akan mengikuti jadual harian termasuk jadual senaman dan memakan ubat bagi membolehkannya berdikari.
‘‘Hui Yee perlu menggunakan ubat sepanjang hayatnya dan kami sedang melatihnya berdikari dan mengetahui jenis ubat yang perlu dimakan,’’ jelas beliau.
Ibu Hui Yee, Dina Bato Sam Bua yang sentiasa menemaninya di wad juga diajar untuk menjaganya ketika berada di rumah kelak.
Tambah Noor Salina, Hui Yee juga dibenarkan keluar berjalan-jalan tetapi pada waktu-waktu tertentu iaitu apabila tiada orang di sekeliling.
‘‘Ini bertujuan mengelakkan dia daripada terdedah kepada sebarang jangkitan.
‘‘Seleranya sudah semakin baik tetapi setakat ini kami hanya membenarkannya makan makanan yang disediakan oleh pihak hospital,’’ tambahnya.
Pihak IJN juga masih belum dapat memastikan bila Hui Yee boleh pulang ke rumah kerana mereka masih memantau keadaannya.
Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah jantung pertama yang didermakan kepada gadis tersebut tidak dapat diterima oleh tubuhnya.
Sebelum itu, Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment