Oleh Hassan Omar
BERTANYA KHABAR: Mohd Najib (dua dari kiri) diiringi Noor Rashid (kiri) beramah mesra dengan pegawai polis ketika melawat IPK Sabah sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, Kota Kinabalu, semalam. |
Kebanyakan saksi polis tidak sedia pertahan bahan bukti: Mohd Najib
KOTA KINABALU: Kebanyakan Pegawai Penyiasat (IO) polis yang memberi keterangan di mahkamah, terutama dalam kes berprofil tinggi, goyah ketika disoal balas peguam bela tertuduh dan gagal mempertahankan bukti, sekali gus menjadikan mereka saksi yang mudah dipertikaikan.
Timbalan Ketua Polis Negara yang bakal bersara Selasa depan, Tan Sri Mohd Najib Mohd Aziz menegaskan, kebanyakan IO berkenaan, sama ada dari peringkat pegawai rendah atau tinggi, tidak bersedia mempertahankan bahan bukti yang dibawa ke mahkamah.
"Pegawai kita yang pergi ke mahkamah tidak bersedia dengan bahan bukti yang hendak diberi. Dalam kebanyakan hal, pegawai kita goyah dan tidak boleh memberi keterangan dengan yakin dan meyakinkan mahkamah.
"Apabila disoal balas peguam bela, dia jadi kelam-kabut dan goyah. Apabila ditanya, dia jawab tak tahu, tak ingat dan lupa," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, di sini semalam.
Mohd Najib mengunjungi IPK Sabah dalam rangka lawatannya ke IPK di seluruh negara sebelum persaraannya. Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Najib memberi contoh, dalam kes berprofil tinggi seperti perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu; eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Samsudin dan penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian, ada IO dan saksi pendakwa gagal memberi keterangan meyakinkan mahkamah.
"Saya mengikuti dengan teliti kes dibicarakan di mahkamah, terutama kes berprofil tinggi. Contohnya Altantuya, Noritta dan Canny Ong.
"Ada pegawai yang beri keterangan tetapi tidak boleh digunakan (untuk membantu pendakwaan). Saya lihat perkara ini serius. Kita kena baiki supaya pegawai kita menjadi saksi yang baik," katanya.
Awal September lalu, seorang pegawai kanan Unit Tindakan Khas (UTK), Deputi Superintendan Mohd Yusri Hasan Basri yang memberi keterangan dalam kes pembunuhan Altantuya, dilaporkan gugup dan gementar ketika memberikan keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mohd Yusri dilaporkan berkata, beliau gementar dan bimbang selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberikan amaran kepadanya.
Pihak pendakwaan mencabar kredibiliti Mohd Yusri sebagai saksi pembelaan bicara dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada keterangan diberikan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar kepada Asisten Superintendan (ASP) Zulkarnain Samsudin ketika disoal siasat dan di rumah tertuduh dibuat secara sukarela, seterusnya boleh diterima mahkamah.
Sementara itu, pada Januari 2005, Mahkamah Rayuan di Putrajaya bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Hamid Embong membebaskan Hanif Basree Abdul Rahman daripada tuduhan membunuh Noritta pada 2003.
Hanif Basree didakwa membunuh Noritta di Nombor D-7-1 Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, antara jam 1.30 hingga 4 pagi 5 Disember 2003 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pada Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman mati terhadap penyelia pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris, yang didapati bersalah membunuh dan merogol Ong.
0 comments:
Post a Comment