Rekha mahu ikut peniaga VCD pulang pulang

Oleh Fazallah Pit

GEORGETOWN: Seorang wanita yang disyaki menculik kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Rekha Abdullah, dengan membawanya pulang ke rumahnya di Bandar Baru Air Itam di sini, sebenarnya cuba membantu kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid, berkata siasatan polis mendapati Rekha merayu kepada wanita itu supaya membawanya pulang.

Beliau berkata, Rekha memaklumkan peniaga gerai video cakera padat (VCD) itu dia takut pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi keluarga dan mahu mengikut wanita berkenaan ke rumahnya.


“Peniaga VCD itu yang bersimpati dengan Rekha kemudian membawanya pulang.

“Rekha hanya memutuskan untuk pulang selepas melihat wajah ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, ketika menonton siaran berita televisyen,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island di sini, dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, untuk membeli VCD, Isnin lalu.


Rekha yang dikatakan membawa wang RM5, tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam, menyebabkan bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, serta ibunya membuat laporan polis.

“Siasatan kes itu sudah siap sepenuhnya dan kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa raya dalam tempoh terdekat.

“Pemeriksaan perubatan mendapati Rekha tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, tetapi polis akan menghantarnya menjalani pemeriksaan psikiatrik bagi menentukan keadaan mentalnya,” katanya.

Azam juga kesal kerana ada media membuat kesimpulan awal dengan mengaitkan kehilangan Rekha dengan penculikan hingga menjejaskan siasatan polis dan menggemparkan masyarakat.

Sementara itu, bapa tiri Rekha, Ahamad Omar, 49, berkata keluarganya sedang mempertimbang kemungkinan menghantar anak keenam dari tujuh beradik itu, ke rumah kebajikan.

“Kami mungkin hantar Rekha ke rumah kebajikan demi kebaikannya pada masa depan. Lagipun, kami hidup miskin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam

0 comments: