Bahan peledak disimpan di mahkamah

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHM

SHAH ALAM 29 Okt. – Setelah 69 sampul surat dan satu bungkusan berisi bahan bukti kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, termasuk bahan paling sensitif iaitu electric detonator (sebahagian daripada bahan peledak) dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, timbul pula persoalan di manakah ia perlu disimpan?

Apabila pertanyaan tersebut diajukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, Hakim Datuk Zaki Md. Yasin kelihatan ‘termenung’ seketika, sebelum meminta pandangan daripada Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Shaari Desa, 40.

Ini kerana, Shaari sebelum itu memberitahu sebahagian daripada bahan peledak (berisi dalam sampul surat bertanda Z23 (bahan bukti P233A) adalah sensitif kepada kesan haba atau kepanasan.

Noorin: “Saya memohon pandangan Yang Arif. Di manakah bahan bukti ini hendak disimpan?"

Hakim Mohd. Zaki sambil tersenyum ke arah Shaari lalu bertanya: ‘‘Di manakah hendak disimpan barang ini Encik Shaari?’’

Shaari: “Simpan di peti keselamatan mahkamah.”

Hakim Mohd. Zaki dengan nada ragu bertanya: “Simpan di mahkamah? Eh, lama tu (sementara menunggu perbicaraan disambung pada 5 November). Di manakah tempat yang paling selamat untuk menyimpan bahan peledak ini?"

Shaari: “Yang Arif. Sebenarnya tiada jaminan dapat diberikan dalam perkara ini. Tetapi sepanjang saya menjalankan tugas menganalisis bahan-bahan letupan, belum pernah berlaku perkara yang tidak diingini.”

Setelah menimbangkan semua faktor, Hakim Mohd. Zaki membuat keputusan bahawa kesemua bahan bukti tersebut disimpan selamat oleh mahkamah.

Ketika saksi pendakwa ke-40 mengemukakan sampul surat Z23 bertanda P233A (sampul surat yang mengandungi satu bekas plastik berisi elektrik detonator disambung bersama dua utas wayar putih) Shaari meminta supaya bahan bukti itu dikendalikan dengan berhati-hati kerana bahaya.

Dengan nada kehairanan Hakim Mohd. Zaki bertanya: “Apa yang bahayanya?"

Noorin: “Jika terhentak ia akan meletup. Di manakah kita hendak letakkan eksibit ini. Pastikan ia tidak terjatuh Yang Arif.”

Berseloroh

Dalam masa Hakim Mohd. Zaki mencari-cari ‘ilham’ lokasi yang sesuai, tiba-tiba pandangan beliau terhenti di meja peguam Hazman Ahmad. Dengan nada berseloroh beliau berkata: “Letakkan di situlah.”

Orang ramai kedengaran tergelak mendengarkan gurauan hakim berkenaan yang wajahnya sentiasa serius.

Pada satu peringkat ketika Hakim Mohd. Zaki meneliti pula satu bekas plastik berisi Cutting Linear Charge (CLC) eksibit (P231A) berupa satu keratan tiub logam bersegi dan berongga yang mengandungi serbuk putih.

Noorin mengingatkan supaya hakim berkenaan tidak menyentuh tanpa memakai sarung tangan, tidak menterbalikkan serta tidak menghentak bekas tersebut.

Hakim Mohd. Zaki bertanya: “Betulkah begitu Encik Shaari?”

Saksi mengesahkan perkara tersebut.

Selain itu, pihak pendakwa turut mengemukakan selaras sub mesingan HK-MP5 SD (P263A) tanpa kelopak dan satu penyerap bunyi (silencer) yang dipasang pada penghujung laras.

Bersama eksibit tersebut, Noorin mengemukakan dua kelopak kosong, 15 butir peluru hidup 9 milimeter (mm) dan lima butir kelongsong (telah diuji tembak) dan kepala peluru 9 mm serta satu kelongsong peluru 9 mm.

Turut dikemukakan ialah satu ketulan lembut yang dahulunya berwarna merah jambu kini telah bertukar menjadi jingga muda.

Shaari menyatakan beliau tidak pasti sama ada pertukaran warna pada eksibit tersebut suatu proses biasa atau sebaliknya tetapi yang pasti memang berlaku perubahan warna.

Di samping itu, empat sampul surat mengandungi empat cebisan tulang, empat sampel gumpalan rambut, tujuh sampel tanah, 16 botol kaca berisi 16 batang putik kapas, enam sampul keratan wayar, cebisan plastik, keratan getah daripada tayar kenderaan dan botol berisi residu bahan letupan juga ditanda sebagai eksibit.

Terdahulu, disebabkan terlalu banyak bahan bukti yang hendak dikemukakan, Hakim Mohd. Zaki mengesyorkan: “Bolehkah timbalan pendakwa raya, saksi dan peguam duduk untuk membuka puluhan sampul surat ini bersama-sama. Sila buat catatan butiran yang tertera pada sampul eksibit. Kemudian sila buat pengecaman dan seterusnya direkodkan di mahkamah terbuka. Ini bagi menjimatkan masa. Jika tidak proses ini akan memakan masa dua ke tiga hari.”

Sehubungan itu, mahkamah berhenti bersidang kira-kira pukul 10.40 pagi bagi memberi laluan saksi untuk membuka dan merekodkan butiran-butiran yang tertera pada sampul surat serta kandungannya.

Proses membuka dan menanda eksibit memakan masa lebih dua jam sebelum mahkamah bersidang semula pada pukul 2.30 petang.

Perbicaraan yang masuk hari ke-53 hari ini bersambung 5 November depan.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Sirul Azhar Umar, 36, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas (UTK), dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini di antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lepas.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, pula dituduh bersubahat dengan kedua-dua tertuduh dalam pembunuhan itu.

0 comments: