Peluang Siti Nadzirah cerah

Oleh Norhana Salashar Basharuddin

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Peluang ibu muda, Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, untuk mendapatkan semula hak penjagaan ke atas anaknya cerah, apabila bakal diwakili seorang peguam pada perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan, esok.

Kerani pentadbiran berkenaan yang sebelum ini tidak diwakili peguam kini mampu menarik nafas lega, apabila ada pihak bersetuju untuk mengendalikan kesnya pada perbicaraan semula yang dijadual berlangsung esok.

‘‘Wakil dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Islamabad, Pakistan telah mencari seorang peguam di sini untuk mengendalikan kes saya.

‘‘Saya amat bersyukur kerana beliau setuju untuk mewakili saya meskipun masa yang diberikan begitu suntuk,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Islamabad, Pakistan hari ini.

Esok, Siti Nadzirah yang bakal diwakili seorang peguam dari Pakistan, akan menghadiri perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi Peshawar bagi mendengar keputusan mengenai tuntutan hak penjagaan ke atas anaknya, Arman Khan Fazal Azim, 11 bulan.

Selasa lalu, keputusan mengenai hak penjagaan anaknya itu ditangguhkan seminggu atas alasan Arman Khan tidak mengenali ibunya.

Hakim yang mengendalikan kes tersebut telah mengarahkan suami Siti Nadzirah, Fazal Azim Abdul Ahad, 24, menyerahkan bayi itu selama enam jam Sabtu lalu bagi membolehkan Arman Khan mengenali ibunya.

Menurut Siti Nadzirah, meskipun dia lega kerana ada pihak sudi mewakilinya, tetapi perasaan bimbang menantikan keputusan esok tetap menghantuinya.

‘‘Saya takut akan kecewa apabila hakim mengumumkan keputusannya esok.

‘‘Saya tidak putus-putus berdoa dan menunaikan solat hajat bagi memastikan keputusan esok memihak kepada saya,’’ ujarnya yang bercadang kembali semula ke Malaysia sejurus mendapat hak penjagaan ke atas anaknya.

Katanya, meskipun belum berpeluang bertemu dengan peguam yang bakal mewakilinya esok (setakat pukul 4 petang waktu Malaysia), Siti Nadzirah tetap yakin dia mempunyai peluang yang cerah.

‘‘Undang-undang di Pakistan sendiri telah menyatakan hak penjagaan kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah akan diserahkan kepada ibu.

‘‘Oleh itu saya percaya saya mempunyai peluang yang sama rata, tambahan pula Arman Khan dilahirkan di Malaysia, bukan di Pakistan,’’ katanya.

Ditanya mengenai yuran guamannya yang akan ditanggung oleh Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal, menurutnya, ahli politik tersebut telah menyerahkan wang RM6,000 seperti yang dijanjikan sebelum ini kepada bapanya hari ini.

‘‘Bapa saya yang berada di Malaysia telah mendepositkan duit itu ke akaun saya bagi membolehkan saya membayar yuran guaman esok,’’ ujarnya.

0 comments: