Karpal mahu PM diheret ke Jawatankuasa Khas Parlimen

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Oct 30, 07 | 3:09:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh mendesak Parlimen merujuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan Parlimen kerana dikatakan memberi jawapan mengelirukan.

Karpal yang bingkas mengambil peluang di bawah Aturan Urusan Mesyuarat mendesak Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talin merujuk PM ke jawatankuasa itu kerana memberi jawapan yang mengelirukan dalam isu pembunuhan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang pernah menggemparkan pada tahun 1974.

Desakan itu dibuat semasa perbahasan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Dalam pembunuhan itu, bekas Ketua Polis Negara itu telah ditembak di Jalan Tun Perak oleh dua orang individu dan Allahyarham Abdul Rahman meninggal dunia pada jam 8.30 pagi pada hari yang sama.

Beliau mengalami kecedaraan teruk di bahu dan anggota lain akibat tembakan itu.Suspek telah ditahan antaranya tertuduh Lim Boon Chong yang diwakili Karpal.

Pada ketika itu penjenayah yang terlibat dikenalpasti dan dituduh dan dijatuhkan hukuman mati, dan kes itu dianggap selesai, kata Karpal.

Namun bagi Karpal kes itu tidak selesai kerana sebelum dijatuhkan hukuman, beliau telah diberitahu oleh anak guamnya bahawa tidak terbabit dengan pembunuhan Abdul Rahman.

Karpal juga mendakwa pihak Pendakwaraya telah menarik kembali dakwaan dan menyebabkan kes itu sebenarnya tidak selesai lagi.

Tetapi apa yang dijawab oleh PM pada 25 Okt tober lalu mengenai kes itu bagi menjawab pertanyaan Karpal adalah mengelirukan dewan, kata Karpal.

Sehubungan itu kata Karpal, wajar Pm dirujuk kepada Jawatankuas kebebasan dan dirujuk ke bahagian Jawatankuasa Disiplin Parlimen.

Sementara itu Ramli dalam jawapannya terhadap Aturan Urusan Mesyuarat perkara 36 yang dibawa Karpal itu berkata pihaknya tidak boleh merujuk perkara itu kepada jawatankuasa hari ini.

"Peraturan Mesyuarat 36 ini terpulang kepada YAng Dipertua samada boleh dirujuk atau tidak dan jika hal ini mahu dirujuk di dewan ini, kena bawa dengan usul dan setiap usul kena di bawah notis 14 hari," kata Ramli.

Oleh kerana usul itu belum sampai 'eddah' (tempoh) 14 hari maka perkara ini tidak berbangkit lagi.

Namun keputusan Ramli itu disanggah oleh Karpal dengan alasan bahawa hal ini perlu tindakan serta-merta.

0 comments: