10 ditahan bantu siasatan kes tembak mati polis

Oleh TAN MING WAI

RAWANG 29 Okt. – Polis hari ini menahan 10 lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kes tembakan di Desa Aman, Sungai Buloh dekat sini yang mengorbankan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal pada Khamis lalu.

Utusan Malaysia difahamkan, kesemua lelaki yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah restoran dan sebuah stor berdekatan di Jalan Pusat BCH 1A, Bandar Country Sunway Homes, di sini petang ini.

Pemilik restoran yang berusia 40-an adalah antara yang ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 4.30 petang itu.

Kira-kira 30 orang anggota polis lengkap dengan baju kalis peluru terlibat dalam dua serbuan serentak itu.

Difahamkan, enam ditahan di restoran manakala empat lagi ditahan di stor berdekatan.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa dari tempat kejadian dengan menaiki kereta peronda polis.

Bagaimanapun empat daripada 10 suspek itu dibebaskan selepas polis mengambil keterangan mereka.

Menurut seorang peniaga di restoran itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Lina, 32, dia terkejut apabila melihat sekumpulan anggota polis yang tiba dan bertindak mengepung enam lelaki termasuk pemilik restoran yang sedang minum.

‘‘Mereka tidak sempat melarikan diri dan empat lagi ditahan di stor berdekatan,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam pada Khamis lalu, keempat-empat anggota polis itu menyerbu sebuah rumah di taman berkenaan kerana dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.

Bagaimanapun empat anggota polis yang berpakaian preman itu telah ditembak sekurang-kurangnya 10 das oleh penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang sehingga menyebabkan dua polis terbunuh dan dua lagi cedera parah.

Anggota polis yang terbunuh ialah Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Jabatan Narkotik Gombak dan Lans Koperal Alagesan Mariapan dari Ibu Polis Kontinjen Selangor.

Dua lagi yang cedera ialah Koperal R. Rajakumar dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial dan Cif Inspektor Helmi Zakaria dari Jabatan Narkotik Gombak.

0 comments: