Howard makin terdesak menjelang pilihan raya

CANBERRA 29 Okt. – Perdana Menteri Australia, John Howard hari ini menggesa supaya diguna pakai strategi baru semasa pilihan raya dengan Kabinetnya berpecah dua berhubung perubahan cuaca dan penurunan sokongan di beberapa kerusi utama.

Howard yang sudah 11 tahun berkuasa akan menghadapi pilihan raya umum kebangsaan pada 24 November ini tetapi pungutan suara mendapati Parti Buruh pimpinan Kevin Rudd dijangka memperoleh kemenangan selesa.

Para penasihat kanan kerajaan memberitahu Howard supaya mengubah taktik pilihan raya bagi empat minggu terakhir kempen walaupun penganalisis, John Warhurst berkata, kerajaan tidak dapat mengubah keadaan pada masa sekarang.

“Saya dapat merasakan mereka sangat tertekan pada masa sekarang,” kata Warhurst, Profesor Politik di Universiti Kebangsaan Australia.

“Saya fikir mereka sudah tidak ada pilihan. Kita sudah sampai ke peringkat kempen bahawa kerajaan perlu bangun semula,” ujarnya.

Masalah kerajaan pada pilihan raya kali ini telah disukarkan lagi selepas dilaporkan berlakunya perpecahan dalam Kabinet apabila Menteri Alam Sekitar, Malcolm Turnbull menggesa Howard menerima Protokol Kyoto mengenai perubahan cuaca yang ditentang oleh Perdana Menteri Australia itu.

Australia dan Amerika Syarikat (AS) enggan memeterai Protokol Kyoto yang menetapkan supaya negara maju mengurangkan pencemaran karbon.

Howard menolak protokol itu dengan alasan ia tidak membabitkan China dan India.

Sementara itu, pungutan suara oleh Daily Telegraph hari ini mendapati sokongan ke atas kerajaan turun lapan peratus sejak pilihan raya lalu di empat kawasan yang perlu dimenangi jika Howard ingin terus kekal berkuasa.

– Reuters

0 comments: