|
|
BUENOS AIRES 29 Okt. – Wanita Pertama Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner memanfaatkan kemakmuran ekonomi dan populariti suaminya untuk memenangi Pilihan Raya Presiden semalam dan menjadi wanita pertama yang dipilih untuk memimpin negara ini.
Fernandez, seorang peguam penuh glamor dan senator berhaluan tengah kiri, akan mengambil alih teraju pimpinan daripada Presiden Nestor Kirchner pada Disember dalam peralihan kuasa antara pasangan suami isteri yang dipilih secara demokratik.
“Kita telah menang dengan selesa tetapi kemenangan ini bukan meletakkan kita dalam kedudukan istimewa.
“Sebaliknya ia merupakan satu kedudukan untuk memikul tanggungjawab dan kewajipan lebih besar,” kata Fernandez dengan Kirchner berdiri di sisinya.
Keputusan daripada hampir satu pertiga pusat pengundian menunjukkan Fernandez mendapat 43 peratus undi, cukup untuk mengelakkan pengundian pusingan kedua memandangkan calon di tempat kedua, bekas Ahli Parlimen Elisa Carrio ketinggalan jauh di belakang.
Bekas Menteri Ekonomi, Roberto Lavagna berada di tempat ketiga.
Fernandez, 54, menjalankan kempen ‘santai’ tanpa perlu melalui pemilihan awal, mengadakan perdebatan dengan calon lain atau menggariskan dasar-dasar konkrit.
Beliau sebaliknya menemui para pemimpin asing dan menghebahkan kadar pengangguran dan kemiskinan yang lebih rendah sejak suaminya, Kirchner menjadi Presiden empat tahun lalu.
Kirchner dipuji kerana berjaya memulihkan Argentina daripada keruntuhan ekonomi 2001-2002.
Krisis itu memusnahkan kehidupan golongan kelas menengah di negara ini dan menyebabkan kerajaan gagal membayar hutang AS$100 bilion (RM340 bilion).
Fernandez dijangka meneruskan dasar-dasar suaminya tetapi tidak akan melangkah lebih jauh ke kiri memandangkan beliau seorang tokoh sederhana berbanding pemimpin sosialis di Venezuela, Bolivia dan Ecuador.
Beliau jauh lebih selesa di pentas antarabangsa berbanding suaminya dan akan terus menjalin hubungan baik dengan Presiden Venezuela yang anti-Amerika Syarikat (AS), Hugo Chavez sambil cuba memperbaiki hubungan dengan Washington.
Argentina pernah dipimpin oleh seorang Presiden wanita sebelum ini, Isabel Peron tetapi beliau tidak dipilih.
Isabel, isteri ketiga bekas Presiden Juan Peron, menggantikannya apabila beliau meninggal dunia pada 1974 dan memerintah selama dua tahun sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.
Fernandez sering dibandingkan dengan isteri kedua Peron, ikon pertengahan abad ke-20, Eva “Evita” Peron.
Namun beliau mempunyai lebih banyak persamaan dengan calon presiden AS, Hillary Clinton kerana kedua-duanya adalah peguam dan senator yang suami masing-masing pernah memegang jawatan gabenor sebelum menjadi Presiden.
Fernandez akan menjadi pemimpin wanita kelima yang dipilih di Amerika Latin.
– Reuters
0 comments:
Post a Comment