Tue | Oct 30, 07 | 3:17:30 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - "Walaupun nama pegawai terbabit dirahsiakan, umum mengetahui bahawa sayalah pegawai yang dimaksudkan dalam berita sensasi itu."
Demikian kata Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Dato' Pahlawan Ramli Yusuff dalam sidang media yang dihadiri oleh puluhan wartawan termasuk para pegawai polis jabatan tersebut.
Ramli mengumumkan pendedahan itu di bilik mesyuarat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Perdana, Kuala Lumpur.
Sebelum ini dilaporkan oleh agensi berita, seorang pegawai polis yang tidak dedahkan namanya telah disiasat oleh Badan Pencegahan Rasuah (BPR) atas dakwaan salah guna kuasa dan gagal mengisytiharkan harta.
Pegawai tersebut juga dilaporkan gagal untuk menjelaskan kedudukannya sebagai pengarah sebuah syarikat dan memiliki harta secara tidak sah sejumlah RM27 juta.
Ramli juga dilihat begitu kecewa dengan sikap media dan Badan Pencegah Rasuah seolah-olah cuba mensensasikan isu ini yang belum diputuskan lagi hasil siasatannya.
Dalam pada itu, wartawan dan jurugambar Malaysiakini.com tidak dibenarkan membuat liputan dalam mesyuarat tersebut.
"Saya difahamkan setakat saya masih bersih dalam rekod BPR,"kata Ramli dan tambahnya terpulang kepada media untuk menyoal BPR tentang status siasatan terhadapnya
Difahamkan Ramli diarahkan untuk mengisytiharkan harta dan telah melakukannya pada 19 September lalu kepada timbalan pendakwaraya BPR.
Ditanya tentang sama ada beliau mempunyai musuh di dalam PDRM dan hubungannya dengan Ketua Polis Negara Tan Sri mUsa Hassan, beliau menjawab, "Saya tidak ada musuh. Hubungan saya dengan KPN adalah baik. Kami hormati antara satu sama lain."
Ramli juga menyatakan kerana siasatan tersebut menyebabkan beliau tidak mendapat Pingat Gagah Pasukan Polis (Pingat Tertinggi) sebelum ini.
Dalam kenyataan media tiga muka surat tersebut, Ramli turut mendakwa bahawa PDRM gagal untuk memberi sokongan terhadap dirinya dan para pegawai jabatan tersebut.
"Isu ini adalah situasi yang mengganggu dan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada jabatan ini tetapi kepada seluruh pasukan polis. Pegawai polis jabatan ini tidak dilayan dengan baik oleh BPR dan tidak dilindungi sendiri oleh pasukan mereka sendiri.
"Saya akan menunaikan umrah dan diharap dengan ketiadaan saya, isu ini akan diselesaikan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri," katanya mengakhiri kenyataan media tersebut pada tengahari tadi. - mr/mks.
0 comments:
Post a Comment