Oleh Azman Zakaria dan Munira Yusoff
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah hakim mesti bebas dan kompeten, tetapi mengingatkan bahawa ia boleh lenyap akibat pelbagai punca dan bukan hanya daripada tindakan eksekutif.
Sehubungan itu, baginda bertitah, hakim mesti menolak keseronokan bergaul dengan ahli perniagaan serta mereka yang mempunyai hubungan dengan orang kenamaan lain.
“Tiada apa yang akan melenyapkan keyakinan orang ramai atau komuniti peniaga terhadap badan kehakiman selain berasakan hakim berat sebelah ketika membuat keputusan atau hakim tidak bebas apabila individu yang berkuasa atau badan berdiri di belakang pendakwaan,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia ke-14, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.
Baginda yang juga bekas Ketua Hakim Negara bertitah, keyakinan dalam badan kehakiman juga boleh terhakis apabila komuniti peniaga berasakan hakim tidak kompeten ketika membuat keputusan.
Titah baginda, penghakiman dalam transaksi bank atau perdagangan yang bertentangan dengan norma biasa atau yang alasannya sukar diterima akan menyebabkan timbul rasa curiga dan hilang keyakinan.
“Oleh itu adalah jelas usaha kita menjadikan negara sebagai pusat komersial dan kewangan utama akan gagal jika kita tidak mempunyai badan kehakiman yang kompeten untuk membuat keputusan pertikaian komersial yang kompleks.
“Dalam hubungan ini, adalah amat penting bahawa pelabur asing percaya kepada integriti dan kompeten badan kehakiman kita,” titah baginda.
Baginda juga bertitah, pelabur asing mengharapkan penyelesai segera terhadap kes mereka yang dibawa ke mahkamah kerana kelewatan bermakna kehilangan keuntungan bagi komuniti peniaga.
Kaji selidik Bank Dunia baru-baru ini mengenai resolusi pertikaian komersial, titah baginda, meletakkan Malaysia pada tangga ke-63 daripada 178 negara, manakala laporan serupa oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran kepada ahli perniagaan Amerika Syarikat supaya berwaspada terhadap proses membuat keputusan di mahkamah Malaysia yang memakan masa.
Berikutan itu, baginda mencadangkan mungkin kini masanya untuk Malaysia mempertimbangkan perubahan struktur dan prosedur mahkamah dengan mewujudkan mahkamah perdagangan di Putrajaya seperti di London dengan menempatkan hakim yang dilatih khas dan tahu mengenai perkembangan undang-undang perdagangan yang sentiasa berubah.
Baginda juga bertitah, persefahaman perlu wujud antara hakim dan peguam dengan peguam serta kepemimpinannya mesti memastikan standard integriti dan etika yang tinggi di kalangan ahlinya.
Hari pertama persidangan itu dihadiri 15 hakim, termasuk Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zaki Azmi, selain enam hakim Mahkamah Rayuan serta pegawai kehakiman dari Mahkamah Tinggi di sini.
0 comments:
Post a Comment