Dakwaan Recka diculik rekaan semata-mata – Polis

PULAU PINANG 29 Okt. – Dakwaan kanak-kanak perempuan Recka Abdullah, 10, kononnya dia diculik seorang wanita selepas membeli cakera padat video (VCD) pada 22 Oktober lalu adalah rekaan semata-mata.

Kanak-kanak perempuan itu juga mengada-adakan cerita dirinya dikurung wanita terbabit dalam sebuah bilik di flat di Farlim Ayer Itam di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, hasil siasatan mendapati wanita yang didakwa ‘melarikan’ Recka itu merupakan kenalannya yang bekerja di sebuah premis VCD di Lebuh Pasar di sini.

Katanya, siasatan juga mendapati Recka telah memberitahu wanita terbabit yang dia tidak mahu pulang ke rumah ekoran takut dipukul ibunya kerana bermain hujan sebelum itu.

‘‘Wanita yang dikenali oleh Recka itu bersimpati dengannya dan kemudian membawa kanak-kanak terbabit pulang ke rumahnya di Bandar Baru Ayer Itam. Kanak-kanak itu tinggal di situ selama tiga hari.

‘‘Selepas tiga hari di rumah wanita berkenaan, Recka pulang ke rumah kerana rasa bersalah apabila melihat ibunya menangis dalam laporan media massa ekoran kehilangannya,’’ kata Azam kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dakwaan Recka bahawa dia didera ibunya juga tidak benar kerana hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak perempuan itu mendapati tiada kesan deraan atau kecederaan fizikal.

Azam memberitahu, kanak-kanak itu yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di sini juga akan dihantar ke Jabatan Psikiatri bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

‘‘Polis turut merakamkan percakapan wanita yang membawanya pulang ke rumah dan juga lelaki yang telah menemuinya selain merekodkan keterangan daripada ibu serta bapa tirinya.

‘‘Tiada sebarang tangkapan dibuat. Kertas siasatan kes ini telah diserahkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,’’ ujarnya.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, kanak-kanak tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan lanjut sekiranya langkah itu mendapat persetujuan ibu bapanya.

Pada 22 Oktober lalu, Recka dilaporkan hilang selepas ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam untuk membeli VCD pada pukul 9 malam.

Selepas usaha mencarinya menemui kegagalan, ibunya Salma Sellamah Abdullah, 41, serta bapa tirinya, Ahmad Omar, 49, bertindak membuat laporan di Balai Polis Central di sini kira-kira pukul 4 pagi keesokan harinya.

Hasil liputan meluas media, Recka ditemui oleh seorang lelaki berdekatan sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Chulia di sini sebelum dibawa ke Balai Polis Central untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi berkata, dia dan isterinya akan menyerahkan Recka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi kepentingan masa depan kanak-kanak perempuan itu.

‘‘Kami sangat sayang dengan Recka tetapi saya dan isteri terpaksa mengambil keputusan itu kerana tidak mampu mengawasi dan memantau pergerakannya 24 jam.

‘‘Kami juga perlu bekerja untuk menampung keluarga serta anak-anak yang lain dan akur dengan penyelesaian menyerahkannya kepada JKM demi masa depan Recka,’’ katanya.

0 comments: