Majlis Keselamatan perlu segera bincang isu Myanmar

BOURNEMOUTH, England 26 Sept. – Perdana Menteri Britain, Gordon Brown hari ini menggesa Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bermula hari ini, membincangkan isu yang berlaku di Myanmar secara serius.

Brown juga menegaskan tiada seorang pun akan terlepas daripada hukuman akibat perlanggaran hak asasi di negara itu.

“Saya berharap agar mesyuarat Majlis Keselamatan diadakan serta merta untuk membincangkan isu ini serta melihat apa yang boleh dilakukan.

“Perkara pertama yang patut dibuat ialah menghantar segera utusan PBB ke Myanmar,” kata Brown yang ditemui selepas persidangan Parti Buruh.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini sebagai tindak balas perkembangan terbaru bantahan antijunta tentera yang kini mengorbankan tiga nyawa.

“Saya fikir semua orang kini tahu bahawa keseluruhan isu sekatan akan menyaksikan satu dimensi yang baru.

“Seluruh dunia sedang memerhati perkembangan di sana, kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia oleh junta itu tidak lagi boleh dibiarkan,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Itali, Romano Prodi pula mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat tergempar mengenai Myanmar dalam usaha menghentikan keganasan di sana.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Portugal yang kini memegang jawatan Presiden EU untuk mencari jalan terbaik menangani isu Myanmar.

– AFP

0 comments: