Tindakan KPN nafikan berita berkaitan pembunuhan Nurin timbulkan tanda tanya

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Sep 27, 07 | 7:59:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan berita berhubung penangkapan seorang lelaki yang disyaki pembunuh Nurin Jazlin Jazimin menimbulkan tanda tanya siapakah sumber berita tersebut.


Bernama sebelum itu melaporkan, lelaki 41 tahun disyaki terlibat dengan pembunuhan kejam itu telah ditahan. Bagaimanapun, selepas amaran Musa kepada media supaya tidak membuat spekulasi berhubung penahanan, berita itu tidak lagi kelihatan dalam web Bernama.

Berita itu begitu terperinci dan adalah amat sukar untuk menuduh Bernama membuat spekulasi berhubung penahanan seorang lelaki disyaki pembunuh Nurin. Malah, dengan jelas berita itu menyatakan ia memetik sumber polis.

Dalam berita itu Bernama melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin Jazimin, 8, di Lebuh Ampang di sini semalam.

Suspek itu, yang bekerja sebagai "orang tengah" di sebuah agensi pelancongan di bandar raya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis menunggu untuk menahan lelaki itu.

Bernama memetik sumber polis yang berkata, serbuan itu dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa suspek mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin.

Rakan suspek itu juga memberitahu polis bahawa lelaki yang disyaki itu mungkin terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan di Kampung Baru dengan menggunakan terung.

Bagaimanapun, Musa menafikan berita tersebut.

"Tiada tangkapan (dalam kes Nurin Jazlin setakat ini), jangan buat cerita yang tidak betul kerana nanti akan mengganggu siasatan.

"Kita juga akan memanggil penulis terbabit dan menyiasat dari mana dia mendapat maklumat yang tidak benar itu," tegas Musa kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.

Beliau juga mengingatkan media supaya tidak melaporkan cerita yang boleh mengganggu siasatan polis malah memberi amaran kepada media supaya tidak membuat spekulasi berhubung penahanan seorang lelaki disyaki pembunuh.

Agak menghairankan kerana Musa kelihatan menyalahkan media sahaja sedangkan laporan Bernama itu dengan jelas menyebut ia memetik sumber polis.

Setakat berita ini ditulis, laman web sebuah akhbar arus perdana masih terus menyiarkan berita itu yang bertajuk "Kes bunuh Nurin: Lelaki 41 tahun disyaki terlibat ditahan" bersama-sama berita bertajuk "KPN nafi pembunuh Nurin Jazlin ditangkap" pada halaman yang sama.

Ini bukan pertama kali Musa menafikan berita yang disiarkan oleh media.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara menafikan pernah memberikan sebarang kenyataan kepada sebuah akhbar arus perdana mengenai tuduhan rasuah ke atas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Berita yang dinafikan Musa itu sebenarnya adalah temubual antara pemberita berkenaan dengan Musa.

Musa dilaporkan berkata, beliau tidak mahu berpolemik dengan Johari berhubung tuduhan polis gagal mengemukakan bukti yang cukup dan tidak menyiasat dengan betul penjenayah-penjenayah yang dirujuk di bawah Ordinan Darurat.

Selepas berita itu disiarkan, Bukit Aman mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis sedang menyiasat sebuah akhbar kerana mengeluarkan berita palsu berkaitan kes yang melibatkan Johari itu.

Kenyataan itu juga manyatakan bahawa Musa menafikan pernah memberikan sebarang kenyataan seumpama yang ditempatkan di muka hadapan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun selepas itu, tidak kedengaran sebarang tindakan dibuat ke atas akhbar dan pemberita yang terlibat dengan penyiaran berita yang dituduh sebagai berita palsu oleh kenyataan Bukit Aman itu.

0 comments: