Jambatan runtuh 60 maut

Pasukan penyelamat Vietnam masih mencari 93 pekerja hilang

HANOI: Sebuah jambatan yang masih dalam pembinaan di selatan Vietnam runtuh semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 60 pekerja dan menyebabkan 93 yang lain hilang tertimbus atau cedera, kata pegawai.

Jambatan sedang dibina menyeberangi Sungai Hau, cawangan Sungai Mekong di bandar selatan Can Tho, laluan perjalanan sibuk yang menghubungi Delta Mekong dan Bandaraya Ho Chi Minh.

Sekurang-kurangnya 60 orang terkorban, kata Dang Van Tam, Pengarah hospital besar Can Tho.

Walaupun pihak berkuasa menyebut kira-kira 93 yang lain hilang atau cedera tetapi pengerusi jawatankuasa rakyat kawasan Can Tho, Vo Thanh Tong, berkata pada hari biasa, sehingga 140 orang akan bekerja di bahagian jambatan yang runtuh.

Agensi berita Vietnam pula melaporkan kira-kira 250 orang bekerja di bahagian yang runtuh itu ketika kejadian pada jam 8 pagi itu.

Di New York, Perdana Menteri Nguyen Tan Dung yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengarahkan pihak berkuasa melakukan operasi menyelamat besar-besaran serta menyiasat punca tragedi berkenaan.

Edisi internet akhbar VNExpress melaporkan, mangsa yang terperangkap membuat bising bagi menarik perhatian ketika ahli keluarga mangsa turut menyertai usaha menyelamat.

Pasukan penyelamat masih menggali di bawah runtuhan mencari mereka yang masih tertimbus, kata Le Viet Hung, Timbalan Ketua Polis Can Tho.

"Keadaan di tempat kejadian kelam-kabut. Ketika jambatan runtuh bunyinya seperti satu letupan besar. Ia adalah kemalangan paling besar pernah saya saksikan," kata Hung.

"Kami sedang bertungkus-lumus untuk mencari mereka yang masih hilang. Beberapa pasukan kecemasan dari empat hospital sudah dikerah ke kawasan ini," katanya.

Pembahagian bahagian jambatan yang runtuh itu dikawal selia oleh syarikat Jepun, Taisei Corp, Kajima Corp, Nippon Steel Corp dan Nippon Koei-Chodai.

Tiada laporan menyatakan rakyat Jepun terkorban atau hilang dalam kejadian berkenaan.

Jambatan itu masih belum dibuka kepada lalu lintas. Kawasan pembinaan sepanjang 2.75 kilometer, jambatan empat laluan itu bermula pada 2004 dan dijangka siap tahun depan. Ia dijangka menjadi jambatan gantung kabel terpanjang di Asia Tenggara.

Pekerja penyelamat menggunakan kren dan peralatan lain untuk mencari mereka yang terselamat dalam runtuhan, kata Tong.

Bahagian jambatan yang runtuh adalah setinggi 30 meter dan sepanjang 100 meter dan didirikan di atas tebing sungai di Wilayah Vinh Long. Pekerja baru saja menuangkan konkrit pada bahagian jambatan kelmarin, kata Tong.

Jepun menyediakan pinjaman 25 bilion yen (RM749 juta) bagi pembinaan jambatan berkenaan yang merangkumi 85 peratus daripada kos keseluruhan, kata Yoshifumi Omura dari Bank for International Cooperation, Jepun di Hanoi. Baki kos ditanggung kerajaan Vietnam. � AP

0 comments: