'Hangat-hangat tahi ayam' tidak mampu basmi jenayah seksual

Nyza Ayob
Wed | Sep 26, 07 | 5:34:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Tindakan kejam dan sadis yang dilakukan oleh pembunuh Nurin Jazlin Jazimin ternyata mencemarkan kesucian bulan Ramadan, di mana kebanyakan umat Islam sedang berusaha mempertingkatkan dan membersihkan diri dari dosa dan noda.

Perkara ini ditegaskan Ketua Wanita JIM, Profesor Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Beliau yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nurin Jazlin, menjelaskan, ekoran daripada kejadian ini, cadangan demi cadangan dianjurkan, tindakan dan hukuman diperketatkan.

Malah katanya, tidak kurang juga yang cuba meletakkan kesilapan dan kesalahan di atas bahu pihak tertentu seperti ibu bapa dan pihak berkuasa.

Tegas pakar obstetrik dan ginekologi UKM ini , jenayah seksual ini tidak mungkin akan dapat dibasmi dengan tindakan `hangat-hangat tahi ayam', sebaliknya ia perlu dilakukan dengan muhasabah diri dan refleksi yang jujur bagi mencari punca dan penyebab utama jenayah seperti ini berlaku.

Harlina juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa fenomena peningkatan keganasan seksual di kalangan masyarakat berkait rapat dengan ikatan spiritualiti dan pegangan akidah individu yang longgar.

"Tanpa adanya perasaan takut kepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada keredhaan-Nya, jiwa manusia dengan mudah diperdayakan oleh nafsu syahwatnya. Apabila syahwatnya mengganas dan menjadi raja, individu tersebut tidak akan teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan kita.

"Integriti dan amanah tidak lagi menjadi identiti diri. Perkara pokok mengenai keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan ketika dalam diri individu terutamanya generasi muda,"katanya, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini beliau mengharapkan ibu bapa memuhasabah diri secara jujur dan telus serta menilai semula sejauh manakah konsep akidah dan kepercayaan ini berakar umbi dalam jiwa anak-anak mereka.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka dengan aspek keselamatan anak-anak di luar rumah.

"Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan moral yang tinggi, berpaksikan kepercayaan agama yang dianuti.

" Fahaman materialistik dan gaya hidup hedonistik yang begitu berleluasa di kalangan keluarga moden hari ini, mestilah digantikan dengan cara hidup sederhana yang menekankan tentang integriti, amanah dan keseimbangan," katanya.

Selain itu tambahnya, pihak berwajib disarankan memberikan fokus yang serius dalam usaha menanamkan nilai agama dan kerohanian yang tinggi kepada ahli-ahli masyarakat.

Beliau juga mengharapkan agar segala unsur yang terbukti merosak jati diri generasi muda dan dewasa ditangani dengan tegas, berkesan dan berhemah. - mks.

0 comments: