Oleh Azhar Abu Samah di New York
MYANMAR perlu mengelak daripada mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan di Yangon kerana tindakan sedemikian akan memburukkan lagi keadaan, sekali gus menjejaskan nama baik Asean, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Beliau berkata, Malaysia percaya cara terbaik untuk menyelesaikan masalah di Myanmar ialah menerusi perdamaian dan mempercepatkan proses pemulihan demokrasi di negara berkenaan.
"Lebih baik kembali ke meja rundingan," katanya ketika diminta mengulas laporan junta tentera Myanmar memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap lebih 100,000 penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha di Yangon.
Ketika ini, Amerika mengehadkan import dan eksport serta urus niaga kewangan dengan Myanmar dan sekatan senjata.
Syed Hamid berkata, duta khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari sudah menyatakan kesediaan ke Myanmar untuk membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.
"PBB boleh memainkan peranannya kerana Myanmar enggan membenarkan Asean terbabit secara langsung. Asean akui keadaan di negara itu sukar dan tidak mahu campur tangan tetapi mahu ia diselesaikan kerana tidak mahu keadaan di Myanmar memberi beban dan memalukan Asean," katanya selepas menghadiri mesyuarat peringkat menteri di PBB dan perbincangan dua hala di sini, semalam.
Antara mesyuarat dihadiri ialah menteri luar Asean bertemu Presiden Bank Dunia, mesyuarat Asean dan Negara Teluk, Jawatankuasa Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin. Mesyuarat dua hala pula membabitkan Menteri Luar Iran, Tunisia, Emiriyah Arab Bersatu dan Sudan.
Beliau berkata, Asean bimbang PBB akan mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar berdasarkan perkembangan semasa, sekali gus masyarakat antarabangsa akan memberikan reaksi segera, termasuk mendesak negara itu dikenakan sekatan antarabangsa.
Mengenai pertemuan dengan Menteri Luar Sudan, Dr Lam Akol Ajawin, Syed Hamid berkata, Sudan meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membantu secara ketara dalam memulihkan keamanan dan membantu memajukan negara itu kerana sebelum ini kehadiran Barat lebih menonjol.
"Mereka amat memerlukan bantuan kerana selama ini hanya ikrar bantuan saja yang diperoleh dan ia tidak pernah tiba," katanya sambil menambah Malaysia sudah menyatakan kesediaan membantu menyediakan biasiswa kepada 127 pelajar Sudan, termasuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tiba di sini semalam untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-62.
Perdana Menteri diiringi isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah.
0 comments:
Post a Comment