Oleh SAHBULAH DARWI dan ABDUL MUIN SAPIDIN
|
|
TASEK GELUGOR 26 Sept. – Seorang lelaki yang terdengar jeritan meminta tolong segera berkejar ke sebatang tali air dekat Rumah Pam Sungai Kereh di Lahar Tebun di sini untuk menyelamatkan empat kanak-kanak yang lemas selepas mandi-manda di situ.
Saidin Ahmad, 47, seorang pesawah, bertindak pantas menarik keluar tiga orang kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun dari tali air itu.
Saidin yang pada mulanya tidak mengetahui mangsa keempat masih berada di dasar tali air tersebut berehat sebentar kerana keletihan, tetapi seorang rakan empat kanak-kanak itu, Nor Syahirah Arshad, 5, berteriak: “Ada lagi, ada lagi seorang.”
Tanpa berlengah, Saidin terjun semula untuk menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak malang tetapi dia terkejut apabila mendapati tubuh terakhir yang berjaya dikeluarkan dari tali air itu ialah Mohd. Zaidi, anak bongsunya sendiri.
Mangsa, Mohd. Zaidi Saidin, 5; Badrul Hanif Ahmad, 6; Zulkifli Mohamad, 6, dan Mohamad Nur Aidil Hakimi Shaharudin, 6, terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu.
Keempat-empat murid tadika yang bersahabat baik itu disahkan meninggal dunia ketika mereka tiba di hospital.
Nor Syahirah terselamat kerana dia tidak mandi-manda dalam tali air, sebaliknya hanya berdiri di tebing.
Insiden lemas itu disedari oleh Saidin yang kebetulan melalui kawasan itu ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengerjakan bendangnya.
Ketika itu air di tepi tali air mencecah paras hidungnya tetapi ia semakin dalam bila Saidin berenang ke tengah.
Tubuh keempat-empat murid tadika itu ditemui oleh Saidin di dasar tali air berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kesemua kanak-kanak itu.
Ketika diselamatkan pesawah itu mendakwa mereka masih lagi bernyawa.
Kanak-kanak yang dipercayai tidak pandai berenang itu terjun ke dalam tali air yang kedalamannya mencapai paras dua meter.
Mohd. Zaidi, Badrul Hanif, Zulkifli dan Nor Syahirah merupakan murid Tadika Kemas Lahar Tebun manakala Mohamad Nur Aidil ialah murid prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lee Chee Tasek Gelugor di sini.
Mereka yang pertama kali mandi di tali air itu baru pulang ke rumah dari sekolah masing-masing kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum keluar semula untuk bermain bersama.
Menurut Nur Syahirah, keempat-empat rakannya itu terus terjun ke dalam tali air dan kemudian tidak timbul-timbul.
Ketika ditemui pemberita di Hospital Kepala Batas dekat sini, Saidin berkata, dia tidak menyangka kanak-kanak yang diselamatkannya ialah anak bongsunya sendiri.
‘‘Pada bulan puasa ini mereka kelihatan bertambah rapat dan selalu ke sana ke mari bersama, tetapi Allah lebih menyayangi mereka. Kami sekeluarga reda dengan pemergian Mohd. Zaidi,” katanya.
Menurut Saidin, dia dan ibu bapa lain bersetuju untuk mengebumikan kesemua kanak-kanak itu di dalam satu liang lahad selepas disembahyangkan di Masjid Lahar Tebun di sini.
Jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan masjid itu selepas sembahyang sunat tarawih kira-kira pukul 10.30 malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pemangku Asisten Komisioner Wan Abdullah Tuanku Said berkata, kanak-kanak itu ditemui mati tenggelam dalam saliran berkenaan.
Dalam kejadian itu, katanya, Nor Syahirah yang menyedari rakan-rakannya tidak timbul-timbul selepas terjun ke tali air itu menangis sambil meminta tolong orang ramai.
‘‘Saidin yang juga bapa kepada Mohd. Zaidi yang kebetulan lalu di situ bertindak terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan semua kanak-kanak terbabit.
“Kesemua mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas,” katanya kepada pemberita.
Wan Abdullah berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.
Katanya, ibu bapa mangsa memberitahu, empat sekawan itu tidak pernah pergi ke lokasi itu dan biasanya mereka hanya bermain di sekitar rumah masing-masing yang terletak berdekatan antara satu sama lain.
0 comments:
Post a Comment