PAC mahu tindakan ke atas kementerian membazir

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu tindakan diambil ke atas kementerian yang didapati melakukan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006.

Pengerusinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada masa hadapan termasuk meningkatkan keupayaan kerajaan menghindar perkara tersebut.

Untuk itu, katanya, PAC akan mendalami semua aspek yang telah diaudit dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada 4 Oktober 2007 untuk mendapat penjelasan, bermula dengan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita akan mendalami semua isu yang terkandung dalam laporan tersebut dengan bermesyuarat setiap dua minggu dan bertemu dengan semua kementerian yang terbabit.

“Dalam kita melihat laporan, kita juga harus mencari jalan bagaimana dapat mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang telah melakukan pembaziran,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penyampaian taklimat laporan tersebut oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada PAC di Parlimen di sini, hari ini.

Antara isu yang menarik perhatian ramai dalam laporan tersebut adalah teguran Ketua Audit Negara terhadap proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada kadar melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Dalam hal ini, Shahrir berkata, tindakan awal dan pencegahan perlu dibentuk bagi mengelak kerugian tersebut berulang pada masa akan datang.

Shahrir turut menegaskan wujud kelemahan pihak audit dalaman dalam melaksanakan tugas dengan cekap di kementerian dan jabatan kerajaan.

Katanya, keupayaan mereka dalam badan kerajaan perlu dipertingkatkan bagi membantu mengelak sebarang kerugian sebegini.

Ditanya mengenai cadangan PAC agar laporan Audit Negara dibentangkan dari semasa ke semasa di Parlimen supaya sebarang masalah dapat dikesan dengan cepat, beliau berkata, langkah ini memerlukan perubahan pada seluruh sistem perundangan.

``Oleh kerana kerajaan menguatkuasakan undang-undang, ia mesti datang daripada mereka dan kerajaan mesti memperbaiki tadbir urusnya,’’ tegas Shahrir.

Ambrin dalam salah satu pembentangannya pula berpendapat, negara sudah pun memiliki sistem yang menyeluruh untuk mengelakkan sebarang pembaziran namun keberkesanannya sebenarnya lebih bergantung kepada faktor manusia.

“Ini melibatkan sikap dan cara berfikir. Dalam hal ini, latihan berterusan diperlukan bagi memastikan semua pegawai yang terlibat sedar akan tanggungjawab yang harus dilaksanakan,’’ ujarnya.

0 comments: