Kes Altantuya: Dokumen sah ditulis Razak

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Pakar kimia dapati 18 persamaan tulisan dengan buku nota dirampas

SHAH ALAM: Pakar kimia semalam mengesahkan kertas A4 tertera nama bapa Abdul Razak Baginda, alamat rumahnya, nombor telefonnya dan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang ditemui di pejabat tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri di Bukit Aman, pada 12 November 2006, ditulis sendiri penganalisis politik itu.

Penganalisis dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong, 48, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi semalam, berkata beliau membuat kesimpulan itu selepas membandingkan tulisan di atas kertas berkenaan dengan beberapa spesimen dokumen tulisan tangan Abdul Razak.

Spesimen itu termasuk dua buku nota yang dirampas dari pejabat Abdul Razak di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 13 November lalu.

Wong yang juga saksi ke-30 pendakwaan berkata, hasil perbandingan dokumen yang dipertikaikan (kertas bersaiz A4) dengan spesimen dokumen tulisan tangan tertuduh, beliau mendapati ada 18 persamaan antara kedua-duanya dan hanya satu perbezaan.

"Kesimpulannya, saya mendapati hampir semua tulisan tangan yang dipertikaikan dan ditandakan sebagai P80A ditulis oleh orang sama apabila dibandingkan dengan spesimen ditanda sebagai P105A, P105B, P85A dan P86A kecuali tulisan tangan di tengah kertas A4 itu," katanya.

Wong berkata, pada jam 2.49 petang, 17 November tahun lalu, Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan datang ke pejabatnya di Petaling Jaya, dan memintanya membuat perbandingan dan analisis beberapa dokumen yang dibawa dalam sampul surat.

"Tonny menyerahkan empat sampul surat mengandungi sekeping kertas yang dipertikai kesahihan tulisannya, dua buku nota mengandungi spesimen tulisan tangan yang ditulis 'milik Abdul Razak Abdullah' (ditanda P85A dan P86A) dan dua set dokumen yang setiap satu mengandungi lima keping kertas mengandungi spesimen tulisan tangan tertuduh ketiga itu (ditanda P105A dan P105B).

(Spesimen 10 keping dokumen mengandungi tulisan tangan itu ditulis Abdul Razak pada 14 November tahun lalu yang diambil polis di bilik soal siasat di Balai Polis Bukit Aman sebagai contoh tulisan bagi tujuan perbandingan)

Wong berkata, beliau kemudian membuat perbandingan antara P80A iaitu dokumen yang dipertikai dengan P85A, P86A, P105A dan P105B bagi menentukan sama ada terdapat persamaan atau perbezaan karakter antara dokumen terbabit.

"Persamaan yang saya analisis termasuk karakter tulisan, pembentukan huruf dan angka serta sambungan antara huruf, manakala perbezaan adalah saiz tulisan yang menunjukkan kepelbagaian.

"Melalui analisis perbandingan, saya mendapati ada 18 persamaan, antaranya pembentukan nombor '4' dan '2', pembentukan huruf 'le' daripada perkataan �lekir, dan pembentukan huruf 'mi' daripada perkataan 'Aminah'," katanya.

Ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup untuk membuat perbandingan tulisan pada kertas A4 (P80A) dengan buku nota milik Abdul Razak (P105A) dan memberikan beberapa contoh persamaan, Wong berkata sebahagian perkataan dan ayat dalam P80A boleh didapati dalam P105A.

Sebahagian perkataan dan ayat itu adalah: 'Datuk Abdullah Malim Baginda, 22, Jalan Setiajaya, Damansara Heights, 50690, Kuala Lumpur,' diikuti nombor telefon '012-2132303 (nombor telefon bimbit Abdul Razak), 'Bilik 823, Hotel Malaya, Jalan Hang Lekir (hotel penginapan Altantuya) dan di bawahnya, ada perkataan 'Aminah' (panggilan untuk Altantuya).

Wong berkata, beberapa contoh persamaan yang didapati melalui perbandingan tulisan itu adalah melalui angka 8 daripada 'Bilik 823', perkataan 'jalan', angka 4, perkataan 'Setiajaya', 'Abdullah', 'Baginda', 'Heights' dan 'Aminah'.

Katanya, melalui perbandingan beliau mendapati antara contoh persamaan itu boleh dilihat melalui pembentukan perkataan dan palang serta bagaimana perkataan itu ditulis.

Manoj: Contohnya?

Wong: Angka 8 ditulis bermula dari bahagian atas kiri dan juga berakhir di posisi sama manakala terdapat bentuk gelung pada angka 4.

Manoj: Bagaimana dengan perkataan, seperti 'alan'?

Wong: Pembentukan perkataan dan turutan huruf juga sama termasuk huruf 'j' yang kelihatan lebih bulat.

Manoj: Contoh lain seperti perkataan 'Heights'?

Wong: Sambungan dan urutan bagi 'ghts' adalah sama.

Manoj: Bagaimana pula dengan huruf 'l' dalam 'lekir'?

Wong: Huruf itu menunjukkan turutan sama melalui gelungan pada dasarnya.

Sementara itu, Wong berkata pada 26 Jun lalu beliau turut melakukan analisa perbandingan terhadap sekeping nota, empat keping memo, satu sampul surat dan sehelai kertas bersaiz A4 untuk menentukan sama ada ia ditulis orang sama.

Beliau berkata, hasil perbandingan itu, beliau mendapati semua tulisan yang ada pada dokumen itu yang ditanda P22A, P22B, P22C, P22D, P22E, P23A dab P21A ditulis orang sama.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Deputi Superintendan (DSP) Lim Meng Seah memberitahu mahkamah, satu nota ditulis 'You love money or your life' (Anda sayang wang atau nyawa) adalah antara nota yang ditemui polis di pejabat Abdul Razak pada 9 November tahun lalu.

Beliau berkata, nota itu dan empat lagi memo Hotel Malaya termasuk bertulis 'I came with my father waiting outside' (Saya datang bersama bapa saya menunggu di luar) kemudian dirampas di pejabat tertuduh ketiga.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: