SHAH ALAM: Seorang saksi mengakui cuai ketika membaca laporan polis hingga pegawai penyiasat kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Anak Lunggan ditulis sebagai lelaki India dan suspek dalam kes itu.
Ketua penyelia pejabat pertanyaan Balai Tun HS Lee, Koperal Siros Mat Isa, 46, berkata kesilapan itu berlaku ketika membaca laporan polis dibuat ASP Zulkarnain Samsudin dalam Sistem Laporan Polis (PRS), pada 7 November 2006.
Katanya, catatan tangan �ASP Zulkarnain D9 mengambil percakapan beramaran daripada lelaki India di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL)� dalam buku laporan POL 41 ditulis oleh pembantunya, Lans Koperal Ramzan Kamarudin.
(Melalui PRS, laporan polis dibuat Zulkarnain dapat dipaparkan di skrin komputer semua balai polis, dicetak dan ditampal dalam buku laporan POL 41)
Siros yang juga saksi ke-32 pendakwa, berkata beliau cuai ketika membaca laporan tertulis: �Pada 7 November 2006, jam 2 petang, saya (Zulkarnain) bersama Cif Inspektor Koh Fei Cheow, membuat pertanyaan berhubung Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pegawai penyiasat ASP Tonny A/K Lunggan, penama ini akan mendedahkan maklumat ...... terdahulu, saya bacakan peruntukan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah kepada penama�
Siros berkata, apabila melihat perkataan �A/K� pada nama ASP Tonny, beliau beranggapan ASP Tonny adalah seorang lelaki India dan silap apabila menganggap ASP Zulkarnain mengambil percakapan beramaran daripada ASP Tonny.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bagaimanakah Ramzan boleh tersilap ketika menulis di dalam buku POL 41, Siros berkata, perkara itu berlaku kerana pembantunya menyalin kembali apa yang ditaip olehnya dalam laporan 24 jam.
"Laporan 24 jam itu adalah laporan dalam masa sehari pada tarikh sama, yang dibuat saya sebagai seorang ketua penyelia di pejabat pertanyaan," katanya.
Tun Abdul Majid: Jadi, Ramzan tiru apa yang kamu taip dalam laporan 24 jam dan tulis dalam buku laporan POL 41?
Siros: Ya.
Tun Abdul Majid: Bila kamu sedar ASP Tonny bukan lelaki India?
Siros: Ketika saya dipanggil ke IPKKL untuk berjumpa dengan ASP Tonny dan perbicaraan kes ini sudah pun bermula ketika itu.
Tun Abdul Majid: Dan pada masa itu juga baru kamu sedar catatan kamu dan Ramzan adalah satu kesilapan?
Siros: Ya.
Menjawab soalan Tun Abdul Majid, Siros berkata beliau tidak tahu sama ada laporan dibuat ASP Zulkarnain yang ditampal dalam buku Pol 41 itu sudah dipinda atau tidak.
Disoal peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, Siros berkata jika ada pindaan, laporan yang mempunyai nombor report yang sama akan ditampal di tempat sama di mana laporan asal ditampal.
Siros berkata, bagaimanapun tiada pindaan dibuat pada laporan Zulkarnain yang ditampal dalam buku POL 41 itu.
Saksi ke-33, Ramzan, 42, berkata beliau membaca salinan laporan Zulkarnain yang diterima daripada Siros sepintas lalu sebelum menampalnya dalam buku POL 41.
Ramzan juga mengakui beliau tersilap menulis mengenai ASP Zulkarnain mengambil percakapan beramaran daripada seorang lelaki India di dalam buku berkenaan.
"Saya menyalinnya daripada ringkasan jenayah yang dibuat oleh penyelia saya (Siros) pada skrin komputer. Saya hanya tulis saja berpandukan laporan yang dibuat oleh beliau," katanya.
Disoal Tun Abdul Majid, Ramzan berkata, beliau hanya membaca laporan yang dibuat Zulkarnain sepintas lalu dan tidak menyedari kesilapannya.
0 comments:
Post a Comment