Beri PAC kuasa dakwa menteri, agensi yang salahguna wang negara - Dr Hatta

Azamin Amin dan Wan Nordin
Thu | Sep 27, 07 | 11:20:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Hrkh) - Sungguhpun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu tindakan diambil ke atas kementerian yang didapati melakukan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006 dan dilihat serius, namun dikhuatiri pelaksanaan tindakan di pihak kerajaan tidak mendapat sebarang respon.

Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata, adalah dicadangkan supaya PAC diberi kuasa pendakwaan dan lebih serius serta 'berani' memanggil menteri-menteri terbabit supaya dapat menyelesaikan banyak-banyak kes salah guna wang awam yang dilaporkan saban tahun yang tidak dikenakan sebarang tindakan ke atas mereka.

"Saya yakin PAC serius cuma kita mahu pelaksanaan tindakan di pihak kerajaan menjadi satu kenyataan dan bukan sekadar cakap kosong semata-mata.

"Jika tidak, sistem pengurusan wang negara akan dipandang lemah, buruk dan indeks rasuah semakin meningkat, dan apa jua laporan akhirnya tidak ke mana," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.net hari ini.

ImageBeliau yang kecewa, pelbagai kementerian termasuk beberapa menteri sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat dan membazir di samping menguntungkan pihak-pihak tertentu dalam tender-tender dan kontrak-kontrak kerajaan yang akhirnya menyebabkan sesuatu barangan dan produk yang dibeli dan dibayar dengan harga yang tidak munasabah.

"Kalau bijak menguruskan, sudah pasti berbilion wang dapat diselamatkan, paling tidak rakyat akan mendapat imbuhan daripadanya seperti bonus tahunan untuk kakitangan kerajaan," katanya.

"Mekanisme mengesan rasuah dan penyelewengan memang sudah ada dan effektif, cuma tinggal sekarang ialah 'implementation' atau tindakan untuk mengatasinya sahaja yang dilihat lemah," katanya dan menggesa PAC secara serius memanggil menteri-menteri terbabit yang dilihat terlibat dengan salah-urus wang kementeriannnya.

Dalam perkembangan berkaitan , beliau juga mahu Peguam Negara dipanggil PAC dan mahu pendedahan dilakukan terhadap 'keganjilan' yang ditemui dalam urusan pembelian tanah di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kalau ada 'hangky-panky', kita nak tahu juga dan sewajarnya dipanggil Tan Sri Abdul Ghani Patail berhubung isu tersebut," katanya yang merujuk tanah PKFZ yang melambung tinggi sehingga melibatkan dana awam RM4.6 bilion.

PAC akan panggil Peguam Negara

Sementara itu PAC dilaporkan akan memanggil Peguam Negara, untuk mendengar pandangannya mengenai 'keganjilan' yang ditemui dalam urusan pembelian tanah di PKFZ.

Pengerusinya, Dato' Shahrir Abdul Samad berkata, pandangan Peguam Negara amat penting bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat keputusan mengenai PKFZ.

Beliau menambah, Peguam Negara akan diminta memberi taklimat dari sudut undang-undang mengapa tanah PKFZ itu tidak boleh diambil balik oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan.

"Penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendapati harga tanah PKFZ adalah lebih murah jika diambil balik iaitu pada harga RM10.16 satu meter persegi berbanding RM17 satu meter persegi jika dibeli oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK)," katanya.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Projek PKFZ yang menelan belanja besar telah menimbulkan tanda tanya terutama apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan apabila mengambil kira tempoh pembayaran balik selama 15 tahun pada kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.

Kos keseluruhan PKFZ ialah RM4.6 bilion setelah mengambil kira pembelian tanah, kerja-kerja pembangunan dan faedah 7.5 peratus bagi bayaran tertangguh selama 10 tahun.

Shahrir memberitahu, keganjilan lain yang turut ditemui ialah mengenai empat penilaian harga tanah PKFZ oleh JPPH dengan harga dari RM10.16 hingga RM17 bagi satu meter persegi. - mr

0 comments: