YANGON: Polis Myanmar semalam dilaporkan melepaskan tembakan dan menyembur gas pemedih mata bagi menghalang penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha, memulakan perarakan baru dari mercu tanda utama Yangon.
Diplomat Perancis di sini dilaporkan berkata polis menembak ke arah penunjuk perasaan dan beliau yakin beberapa mangsa terkorban.
"Polis mula menembak ke arah udara, tetapi kemudian menghala senjata ke arah penunjuk perasaan. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa yang terkorban," kata Emmanuel Mouriez yang dipetik radio Perancis, RTL.
Sementara itu, Reuters memetik sumber hospital sebagai berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh dan lima cedera dalam tunjuk perasaan di Yangon, semalam.
Sekurang-kurangnya 100 orang, termasuk beberapa sami turut ditahan ketika pihak berkuasa cuba menghentikan demonstrasi terbabit.
Menurut saksi, sekumpulan 200 sami lain yang dilindungi penyokong yang membentuk rantaian manusia, juga dibawa keluar dari Pagoda Shwedagon
Bagaimanapun, apabila keadaan reda, kira-kira 10,000 sami dan pelajar terus mengadakan tunjuk perasaan, sekali gus melanggar perintah junta tentera mengharamkan perhimpunan.
Kira-kira 5,000 sami dan 5,000 pelajar bersama anggota parti pembangkang yang diketuai Aung San Suu Kyi yang dikenakan tahanan dalam rumah, berarak dari kuil Shwedagon ke kuil Sule di tengah-tengah Yangon tetapi disekat oleh tentera dalam perjalanan.
Dalam perarakan berasingan, 300 sami menuju ke kediaman Suu Kyi, ikon demokrasi Myanmar, sambil diekori trak tentera yang membawa kira-kira 40 anggota bersenjata, kata saksi.
Kumpulan sami terbabit bagaimanapun menggesa penyokong mereka supaya tidak menyertai perarakan itu dan melakukan keganasan.
Sementara itu, kira-kira 1,000 orang berhimpun di sekitar Pagoda Sule berhampiran dewan bandar raya Yangon, kawasan tempat perhimpunan utama bagi bantahan yang memuncak dan menjadi ancaman terbesar kepada pemerintah junta dalam masa 20 tahun.
Askar bersenjata mengepung Pagoda Sule, tetapi setakat ini mereka tidak mengganggu orang ramai sebaliknya hanya menantikan sekiranya penunjuk perasaan terbabit berarak ke seluruh bandar. � AFP
0 comments:
Post a Comment