Keluarga mangsa lemas kesal klinik ditutup

KEPALA BATAS 26 Sept. – Ahli keluarga empat kanak-kanak yang mati lemas di tali air Rumah Pam Sungai Kereh di sini kesal kerana klinik kesihatan di kawasan itu ditutup ketika semua mangsa yang ketika itu dipercayai masih hidup dibawa ke situ untuk mendapatkan rawatan.

Menurut mereka, keempat-empat kanak- kanak malang itu mungkin dapat diselamatkan sekiranya Klinik Kesihatan Tasek Gelugor dekat sini dibuka dan bersedia menerima kes-kes kecemasan walaupun pada waktu rehat.

Salah seorang bapa mangsa, Saidin Ahmad, 47, memberitahu, selepas keempat-empat mangsa dibawa naik dari tali air itu, dia dan beberapa rakan melakukan bantuan pernafasan dan mendapati semua kanak-kanak itu masih bernyawa.

Saidin berkata, dia dan beberapa rakannya berlari-lari mengelilingi klinik tersebut sambil mendukung kanak-kanak terbabit termasuk anaknya sendiri, Mohd. Zaidi.

Mereka berkali-kali mengetuk pintu klinik itu dengan kuat supaya pintu dibuka tetapi hampa apabila tiada seorang pun kakitangan menyahut panggilan mereka.

Terkejut

Katanya, seorang tukang kebun yang bekerja di klinik itu kemudian membuka pintu klinik dan dia terkejut apabila mendapati terdapat beberapa jururawat di situ yang tergesa-gesa memakai tudung.

“Kami datang ke situ (klinik) kerana ia satu-satunya tempat paling dekat untuk mendapatkan rawatan, tapi saya dapati pintu klinik ditutup kononnya mereka tengah berehat. Munasabahkah alasan ini?

“Kalau hendak berehat pun, kenapa pintu mesti dikunci. Kalau tergamak mengunci pintu pun, kenapa tidak membukanya ketika kami menjerit-jerit meminta bantuan,” kata Saidin dalam nada kesal ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, empat kanak-kanak prasekolah yang bersahabat karib mati lemas selepas terjun ke tali air Rumah Pam Sungai Kereh.

Mangsa, Mohd. Zaidi Saidin, 5; Badrul Hanif Ahmad, 6; Zulkifli Mohamad, 6, dan Mohamad Nur Aidil Hakimi Shaharudin, 6, lemas selepas mandi-manda bersama dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang.

Saidin yang juga bapa kepada Mohd. Zaidi berkata, selepas membuang masa menunggu di bilik rawatan klinik itu, mereka kemudian diberitahu pusat perubatan itu tidak dapat menghantar mangsa ke hospital kerana tiada ambulans.

Menurutnya, mendengar jawapan yang sangat mengecewakan itu, dia dan rakan-rakan membawa sendiri anak mereka ke HKB dengan bantuan orang awam yang kebetulan berada di situ.

0 comments: