Penduduk kena bijak hadapi krisis air, bencana

Penduduk kena bijak hadapi krisis air, bencana

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my

CUACA panas dan kemarau yang melanda sejak tiga minggu lalu, ditambah jerebu akibat kebakaran hutan yang sudah merebak di kawasan seluas lebih 400 hektar terutama di Bahagian Sibu dan Miri, menyebabkan krisis bekalan air di Sarawak semakin meruncing. Setakat semalam, 60,000 penduduk dari 14,000 keluarga di 312 kawasan seluruh di Sarawak terputus bekalan air bersih dan kerajaan negeri memberi amaran keadaan mungkin bertambah buruk minggu depan sehingga pertengahan September ini, ketika umat Islam menunaikan ibadat puasa.

Di sesetengah kawasan terutama Mukah, Belawai dan Pulau Bruit, air mineral yang dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa dijadikan air mandian, kerana bekalan air bersih menerusi jalan darat dan bot tidak dapat dilakukan, berikutan masalah perjalanan sama ada air sungai terlalu cetek untuk dilalui atau tiada akses jalan darat. Cuma air mineral dalam botol dapat dihantar di sesetengah kawasan termasuk menggunakan perahu kecil penduduk tempatan akibat bot lebih besar atau lori tangki air tidak boleh memasuki kawasan berkenaan.

Di sesetengah kawasan seperti Hulu Kapit, penduduk dikatakan terpaksa menceduk air sungai yang cetek dan kotor bukan saja untuk mandi dan mencuci pakaian, malah untuk diminum dan dimasak, sementara menunggu penghantaran bekalan air bersih. Keadaan diburukkan lagi dengan paras air di kawasan tadahan dan empangan air semakin kering akibat ketiadaan hujan.

Di Sungai Sarawak Kiri di Kuching misalnya kini mencatatkan bacaan paling rendah iaitu di bawah 1.5 meter menyebabkan kunci air terpaksa ditutup bagi memastikan Loji Rawatan Air Batu Kitang dapat terus beroperasi. Empangan Bengoh di Padawan dan Empangan Murun di Miri dilaporkan berhadapan risiko kekeringan jika tiada hujan, menyebabkan penduduk berdepan risiko terputus bekalan.

Langkah mencatu bekalan terpaksa dilakukan di beberapa kawasan dengan Lembaga Air Kuching (KWB) diarah menurunkan jumlah air dirawat antara 10 hingga 15 peratus. Selain kehidupan harian penduduk dan pertanian terjejas, sekolah berasrama turut menerima tempias. Setakat ini dua sekolah berasrama ditutup sementara akibat terputus terus bekalan air, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai yang ditutup seminggu sepanjang minggu lalu dan SMK Kalaka yang ditutup dua hari Isnin dan Selasa, minggu ini.

Murid asrama di 18 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Daerah Saratok juga diarah pulang ke rumah masing-masing mulai kelmarin, kerana ketiadaan bekalan air. Kadar kehadiran di sekolah terutama di luar bandar menurut Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang, juga terjejas teruk akibat kemarau, namun pembelajaran tetap berjalan seperti biasa.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan dan Bencana Alam Negeri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, menasihatkan penduduk di semua kawasan supaya menyimpan air dari sekarang sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan catuan dilakukan bila-bila masa saja di seluruh Sarawak, terutama mulai minggu depan hingga pertengahan September.

Kerajaan mungkin akan mencatu air untuk beberapa jam jika tiada hujan. Operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air, tidak memberi jaminan akan berlaku hujan. Semua residen di 11 bahagian di Sarawak juga diminta berjaga-jaga berikutan keadaan kemarau dan jerebu bertambah serius. Kebakaran hutan yang dilaporkan semakin merebak turut menyebabkan keadaan berjerebu bertambah dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bahagian seperti Sibu, Miri dan Kuching mencecah paras tidak sihat.

Ketika segala usaha dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadam kebakaran dan kerajaan negeri terus berusaha membuat pembenihan awan serta menghantar bekalan air bersih ke kawasan terjejas, penduduk juga harus mengambil pelbagai langkah keselamatan perlu. Ini penting bagi membolehkan mereka menghadapi keadaan, lebih-lebih lagi ketika wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) sedang melanda negara.

Selain harus lebih berjimat cermat dalam penggunaan air dan tidak membazir sesuka hati, pembakaran terbuka dan membakar sisa aktiviti pertanian harus dihentikan segera. Cuaca panas dan kering menyebabkan setiap objek di sekeliling kawasan pembakaran mudah disambar api ditambah pula angin kencang. Orang ramai juga harus akur dengan nasihat kerajaan dengan mengambil langkah perlu ke arah meminimumkan impak bencana alam dan wabak yang melanda sekarang.

0 comments: