Tangguh: Mainan Anwar cari 'keadilan'

Tangguh: Mainan Anwar cari 'keadilan'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

KES Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pertama kali disebut di Mahkamah Sesyen pada 10 September tahun lepas.

Bermula dari tarikh itu, proses menuntut keadilan baik di pihak yang didakwa mahupun yang mendakwa bermula. Atas nama keadilan juga, barisan hakim dari satu mahkamah ke satu mahkamah mendengar dengan tekun dan sabar setiap permohonan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Juga atas nama keadilan, mahkamah memperkenankan satu demi satu penangguhan yang dipohon oleh bekas timbalan perdana menteri itu sehinggakan diam tak diam kes tersebut menjangkau usia setahun pada bulan depan.

Sedangkan atas nama keadilan, penangguhan untuk tempoh sedemikian rupa sama sekali tidak patut berlaku. Ia bertentangan dengan prinsip justice delayed justice denied.

Bukankah satu bentuk penangguhan keadilan untuk Anwar jika niatnya benar-benar untuk membuktikan kepada dunia bahawa tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah palsu belaka jika kes tersebut asyik ditangguhkan.

Maka jika keadilan tertangguh, bukankah bermakna hak seseorang untuk mendapatkan keadilan dinafikan.

Jika diikut logik akal, manusia tidak akan bertangguh untuk mencari kebenaran jauh sekali mahu mencipta sejuta alasan untuk membersihkan nama daripada dikaitkan dengan tuduhan jenayah dan salah laku moral yang dipandang jijik oleh masyarakat.

Tentunya bagi si pengadu yang pernah berkhidmat dengan tertuduh - dia tidak mahu kes tersebut ditangguhkan. Namanya sudah cukup buruk, imejnya juga sudah teruk terpalit dengan pelbagai tuduhan termasuk kononnya sedang menderita penyakit kelamin.

Mohd. Saiful mahu perbicaraan kes tersebut disegerakan. Tempoh hampir setahun baginya terlalu lama dan memberi kesan jangka panjang jika diukur dari pelbagai sudut.

Selagi kesnya tidak selesai, anak muda berusia 23 tahun itu tidak bebas menjalani kehidupan seperti biasa. Sebagai pengadu yang mendakwa telah diliwat oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 26 Jun tahun lalu, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Saiful tidak boleh menjelajah ceruk rantau seperti mana yang dilakukan Anwar.

Banyak perkara, pengakuan dan sumpah yang perlu dijaga oleh si pengadu.

Kesemuanya itu hanya boleh dibentangkan menerusi proses undang-undang di mahkamah yang dimulakan dengan sumpah "tiada yang benar melainkan benar belaka."

Sebab itu apabila pasukan peguam Anwar mengemukakan satu demi satu bantahan, bermula dengan pembentangan hujah di mahkamah mana kes itu sepatutnya didengar sehinggalah yang terbaru iaitu kelmarin - mahu barisan pendakwa sedia ada digugurkan - ternampak seolah-olah proses untuk mendedahkan segala bukti dan keterangan di pihak pengadu cuba disekat dan dilewat-lewatkan.

Penangguhan kes tersebut yang masuk kali kelima jika diteliti ada matlamat tersendiri sesuai dengan taktik serta gerakan perang saraf yang menjadi senjata utama Anwar.

Beliau menggunakan istilah demi keadilan dengan memporak-perandakan proses menuntut keadilan itu sendiri sehingga ke satu peringkat orang ramai tidak lagi percaya kepada pengadu, saksi pendakwa waima hakim yang mengadili kes itu.

Sebab itu, siri bantahan pasukan peguam Anwar dilihat berkisar kepada soal mahkamah yang layak mendengar kesnya, barisan pendakwa yang kononnya mempunyai kepentingan bercanggah lantaran pernah menganggotai kes mata lebamnya. Begitu juga dengan dokumen dan barangan kes yang diminta dibekalkan kepadanya menggunakan proses undang-undang.

Bantahan tersebut diulang-ulang supaya boleh meresap ke fikiran orang ramai dan apabila tiba masanya kelak (tidak mustahil ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir) barulah kes tersebut dapat dibicarakan.

Anwar mahu mahkamah, hakim, pendakwa, saksi dan audien yang mendengar kes tersebut bersetuju dengan hujah-hujahnya kelak - itu baru keadilan namanya, itu juga ketelusan, itu juga kedaulatan undang-undang.

Manakala jika ada satu pihak dilihat condong kepada pengadu biar pun kecenderungan itu berasaskan kepada fakta dan undang-undang, akan bergemalah kata-kata mahkamah berat sebelah, hakim dibeli, pendakwa ada teori konspirasi dan saksi-saksi dirasuah.

Itulah corak keadilan yang diperjuangkan oleh ketua pembangkang. Sedangkan satu pihak lagi terikat. Lantaran apa sahaja kenyataan, pengakuan atau berita yang datang daripada mulutnya di luar mahkamah akan dibalas dengan tohmahan dan fitnah di pihak penyokong Anwar dalam siri jelajah negara.

Tetapi di manakah keadilan jika satu pihak beria-ia menangguhkan keadilan dengan alasan 'demi keadilan' dan satu pihak lagi mahu proses mencari keadilan disegerakan.

Ini kerana lantaran penangguhan demi penangguhan amat jelas boleh saja menjejaskan kes liwat yang mengaibkan itu.

Bilakah kedua-dua pihak akan bertemu pada satu noktah supaya segala-galanya dapat dirungkai dan diselesaikan.

Juga supaya teka-teki sama ada benar Anwar meliwat atau Mohd. Saiful mengada-adakan cerita dia diliwat dapat dijawab.

Persoalan bila, itu yang menarik perhatian. Jika trend memohon dan membenarkan penangguhan dibenarkan dari semasa ke semasa, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2011 mungkin jawapannya.

Ketika itu proses perbicaraan baru hendak bermula. Akan ada tuntutan penangguhan lagi. Akan ada pelbagai gangguan di peringkat ini pun telah boleh dijangka.

Jika peringkat sebutan sehingga kini masih gagal diselesaikan dan tidak diketahui bila akan disempurnakan, tentunya cabaran untuk proses perbicaraan adalah lebih panjang.

Sepanjang tempoh itu, Anwar boleh menjelajah di dalam dan luar negara. Pelbagai cerita boleh disebarkan bagi meyakinkan rakyat bahawa kes tersebut tidak memihak kepada beliau.

Senarai alasan telah direka sejak awal lagi - pendakwa ada kepentingan, saksi disogok, hakim berat sebelah dan tertuduh mereka-reka cerita.

Manakala Mohd. Saiful yang sehingga kini menuntut hak supaya kesnya didengar secepat mungkin terus dibelenggu persepsi buruk terutama di mata penyokong Anwar.

Justeru apa pun keputusan mahkamah kelak, reaksi biasa - Anwar mangsa konspirasi, Mohd. Saiful diperalatkan kerajaan.

Jangan nanti akibat melayan permohonan penangguhan yang keterlaluan, mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat untuk mencari keadilan, tidak dapat berfungsi sedemikian.

Mahkamah akan menjadi bahan mainan Anwar untuk mencari 'keadilan' yang bersesuaian dengan kehendak serta fahamannya.

Lebih daripada itu, jika benar semua pihak inginkan keadilan, maka setiap proses tidak boleh dilengah-lengahkan - bertindak dengan bijaksana dan berkesan lantaran penangguhan keterlaluan akan menafikan keadilan.

0 comments: