Kawal ketagihan fantasi siber

Kawal ketagihan fantasi siber

BEBERAPA ibu bapa telah menulis kepada saya baru-baru ini menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan remaja sekolah kepada fantasi siber melalui permainan komputer atau computer games yang terdapat di kafe siber yang mereka kunjungi.

Semakin ramai remaja mengunjungi kafe siber dengan alasan ingin mendapat ketenangan atau merehatkan minda daripada tekanan alam persekolahan.

Tidak lama dulu terdapat laporan meluas di dalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah didapati berada di dalam kafe siber tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh ketika dilakukan pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.

Hakikatnya pada hari ini, semakin ramai anak muda menjadi penagih kepada fantasi siber. Dan ini adalah masalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu bapa dan pihak-pihak yang berkenaan.

Tidak ada salahnya permainan komputer digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan.

Apa yang lebih buruk lagi ialah apabila ketagihan terhadap permainan komputer ini membawa kepada perjudian yang menjadi punca utama banyak keburukan. Perjudian siber tidak boleh dibenarkan dan anak-anak muda kita tidak boleh terbabit dengannya.

Saya tidak memusuhi kafe siber tetapi peraturan bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan untuk mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber boleh membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis di depan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk.

Kafe siber telah tumbuh bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diwujudkan oleh operasi kafe siber ini.

Untuk mengharapkan pengusaha kafe siber beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat mereka yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki kafe siber adalah mustahil kerana mereka mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara tersebut.

Semua penguat kuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat yang dikenakan terhadap permit lesen seperti mengehadkan operasi kepada waktu yang tertentu dan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur memasuki premis mereka.

Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh kemajuan ICT ini.

Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman ICT ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik.

Dengan kemajuan maklumat tanpa sempadan, penekanan lebih hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai-nilai moral dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

0 comments: