Ambil segala langkah perangi puak hina Islam

Ambil segala langkah perangi puak hina Islam

TIBA masanya bertindak. Malah perang perlu diisytihar untuk memerangi pihak-pihak yang kini semakin berani dan secara terbuka mencemuh, memperli dan menghina Islam.

Berbekalkan senjata undang-undang, apa jua perbuatan berbau hasutan apatah lagi menghina Islam harus dikenakan tindakan tegas. Janganlah berlengah-lengah lagi.

Jangan biarkan kumpulan pelampau seperti itu terus tumbuh besar. Tunjukkan kepada mereka bahawa kenyataan mencemuh, memperli mahupun menghina Islam adalah sangat berbahaya kerana akibatnya akan menjadi terlalu buruk.

Alasan sukar mengesan jejak mereka dan memberikan amaran keras nampaknya tidak lagi menjadi senjata berkesan. Amaran seperti ini sudah banyak kali dipertegaskan.

Keadaan kini sudah semakin mengancam. Dengan 'bersembunyi' di sebalik keterbukaan alam siber, para pengacau keharmonian negara seperti tidak peduli lagi soal sensitiviti agama atau kaum.

Kumpulan pelampau ini seperti tidak peduli akan undang-undang yang boleh membawa mereka ke muka pengadilan dan berhadapan dengan hukuman berat.

Pengacau ini seperti tidak lagi sayangkan negara yang selama ini harmoni dan makmur kerana ada komitmen untuk saling menjaga sensitiviti antara kaum dan agama.

Kita ada Akta Hasutan. Negara juga mempunyai undang-undang di bawah Kanun Keseksaan. Malah ada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedia diguna pakai untuk memerangi pengacau ketenteraman negara ini.

Tentu sekali, dalam suasana sekarang ini peranan Kementerian Dalam Negeri sangat ditagih. Sudah banyak keluhan dan desakan dibuat. Kalaupun mungkin akan ada ahli politik yang bakal disiasat mahupun ditangkap, biarkanlah undang-undang yang menentukannya.

Menghina Islam juga menghina orang Melayu, menghina institusi raja dan Perlembagaan. Ini satu kesalahan serius. Ambillah segala langkah termasuk melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab.

Jangan sekali-kali terlihat penguat kuasa seperti tidak berdaya menghadapi mereka. Ia boleh menjadi pendorong kepada kumpulan pelampau ini untuk semakin biadab dan terus bermain dengan api.

Dalam menghadapi situasi seperti ini, tentu sekali majoriti rakyat akan memberi sokongan penuh. Tidak mungkin mereka yang rasional dan berfikiran terbuka tergamak untuk mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa negara kepada huru-hara.

Jumlah kumpulan pelampau ini tidaklah ramai. Jadi, tidaklah terlalu sukar untuk mengesan dan menahan serta melumpuhkan mereka. Kalau perlu perangkap mereka, perangkaplah.

Sebenarnya, ketangkasan pihak berkuasa mendakwa mereka yang mengedar komen lucah membabitkan Sultan Perak melalui sebuah laman web, Februari lalu telah terbukti.

Tetapi nampaknya gerakan pihak berkuasa menahan komen-komen keterlaluan dalam laman web belum cukup untuk menjadi pengajaran kepada kumpulan pelampau ini.

Jadi, tiba masanya untuk pihak berkuasa meningkatkan lagi pengawasan dan kemampuan bagi memastikan gerakan kumpulan pengacau keharmonian negara ini dapat disekat.

Mungkin dahulu kumpulan seumpama itu berlindung di hutan-hutan sebelum berbaur dengan kelompok masyarakat tetapi kini 'tempat perlindungan' mereka nampaknya lebih kebal.

Tetapi, ia bukan alasan untuk mereka terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang. Kalau mereka sentiasa ada cara, pihak penguat kuasa pula perlu terus mencari cara baru.

0 comments: