Kempen hentam Melayu pendekatan berbahaya

Kempen hentam Melayu pendekatan berbahaya

Oleh Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com


PERPADUAN yang menjadi tunjang kepada keharmonian kaum di negara ini cuba diganggu gugat pihak tertentu, manakala konsep 1Malaysia cuba dipesongkan untuk mencetuskan kekacauan dan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

MINGGU lalu ketika membincangkan latar belakang di sebalik penganjuran tunjuk perasaan jalanan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur baru-baru ini, ruangan ini menyentuh sepintas lalu mengenai kempen terancang menghentam Melayu oleh pihak tertentu. Kaedah yang diguna pakai ialah dengan merendah-rendahkan kemampuan orang Melayu atau sebarang institusi yang dianggap berkaitan dengan Melayu dan Bumiputera supaya akhirnya mereka akan hilang keyakinan diri dan berasa terhina.

Dalam hubungan ini, Islam sebagai satu-satunya agama yang dianuti orang Melayu di negara ini juga tidak dikecualikan daripada sasaran kempen menghentam Melayu itu. Secara menyeluruh, kempen menghentam dan memburuk-burukkan Melayu, sekali gus Bumiputera lain itu juga bertujuan membakar sentimen orang Cina supaya marah kepada orang Melayu dan kerajaan yang cuba digambarkan sebagai kerajaan Melayu.

Matlamat utama kempen itu ialah untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu terhadap kerajaan. Dengan itu, strategi kempen berkenaan mengharapkan rakyat melepaskan rasa marah mereka yang meluap-luap kepada kerajaan dalam bentuk undi apabila tiba musim pilihan raya. Ini dapat dikesan dalam tulisan pembahas dalam pelbagai blog yang secara terang-terangan memberi amaran berbentuk ugutan.

Ayat yang lazim digunakan ialah: "Tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kami tahu macam mana nak ajar kerajaan". Mesej yang serupa juga sering dilaungkan dalam ceramah politik pembangkang serta dalam lidah rasmi mereka dan sekali sekala dalam akhbar vernakular. Seperti yang sudah dijelaskan, kegiatan menghentam Melayu ini sudah lama berjalan. Ia menjadi lebih ghairah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu apabila keputusannya memperlihatkan peluang lebih cerah untuk parti pembangkang menumbangkan kerajaan sedia ada.

Penggunaan istilah yang mengandungi konotasi penghinaan seperti Umnoputra, Umno Elite, anjing Umno dan sebagainya serta kata-kata fitnah tidak berasas terhadap pemimpin kerajaan yang diulang-ulang setiap kali ada kesempatan atau cara mereka memutar belit isu yang berbangkit dari semasa ke semasa mungkin pada asalnya bertujuan merosakkan imej Umno sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN).

Pendekatan sedemikian adalah cukup bahaya kerana ia ibarat membuka 'pintu banjir' yang memungkinkan air bah mengalir mencurah-curah tanpa sekatan sehingga sukar dikawal. Ini jelas terbukti apabila pihak lain yang mungkin tidak mewakili sebarang pertubuhan politik seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain turut mengambil kesempatan melepaskan geram.

Akibatnya, kumpulan lain yang mungkin bukan sasaran asal kempen turut dilukai. Sebagai contoh, serangan melampau terhadap Umno secara langsung melukai perasaan orang Melayu termasuk mereka yang bukan ahli Umno. Secara kebetulan pula, Umno adalah parti terbesar milik orang Melayu di negara ini.

Kecenderungan melihat isu biasa yang tiada kena mengena dengan masalah perkauman dari sudut kaum seperti yang berlaku dalam kes ketuk ketampi seorang wanita muda dalam tahanan polis beberapa tahun lalu, peristiwa kematian Teoh Beng Hock yang puncanya kini disiasat sebuah inkues dan isu lain mahu tidak mahu mengundang reaksi yang juga berbentuk perkauman daripada pihak yang tersinggung.

Ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, ruang yang luas yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk wacana awam disalahgunakan pihak tertentu semahu-mahunya sehingga perkara yang tidak pernah disentuh sebelum ini dimomokkan dengan kata-kata kesat dan berbaur hasutan. Contoh klasik ialah serangan nekad yang dilancarkan terhadap hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja-Raja Melayu, status Islam sebagai agama rasmi negara serta hak kaum lain yang menjadi warga negara yang dilindungi oleh Perlembagaan diungkit tanpa segan silu.

Perbuatan ini diulangi dari semasa ke semasa tanpa provokasi atau hanya dengan provokasi yang kecil sehingga suatu ketika Majlis Raja-Raja Melayu terpaksa mengeluarkan kenyataan peringatan.

Satu perkara yang sukar diterima oleh majoriti rakyat ialah teguran Raja-Raja ini bukan saja tidak diendahkan, malah baginda pula dijadikan sasaran kritikan dan maki hamun yang terkeluar daripada batasan adab.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyuburkan lagi hubungan kaum di negara ini, sengaja dipesongkan sebagai Malaysian Malaysia walaupun penjelasan demi penjelasan dibuat mengenainya. Tujuan pemesongan ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu terhadap kerajaan yang didakwa mengabaikan kepentingan orang Melayu.

Kegiatan menghentam Melayu ini, kalau tidak dihentikan serta-merta akan hanya mewujudkan ketegangan kaum yang sukar dibendung dan akhirnya mencetuskan pergaduhan kaum.

Jika ini berlaku, percayalah bahawa segala kejayaan yang seluruh rakyat Malaysia bina untuk negara ini sejak merdeka 52 tahun akan hancur lebur menjadi debu yang berterbangan di tepi jalan.

Paling tidak pun, jika kegiatan ini berterusan, ramai rakyat tanpa mengira kaum yang cintakan keamanan akan merasa malu dan terhina menjadi warga negara Malaysia. Seorang rakan karib penulis yang pernah menjadi Ketua Bahagian Umno dan wakil rakyat yang cukup sensitif terhadap perkembangan mutakhir dalam negara, baru-baru mengakui secara serius bahawa beliau malu menjadi seorang Melayu. Mungkin ramai lagi orang Melayu, Cina, India dan lain-lain turut memendam rasa yang sama.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

0 comments: