1Malaysia perspektif generasi merdeka

1Malaysia perspektif generasi merdeka


JALUR GEMILANG... kakitangan kerajaan mengibarkan bendera pada majlis pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-52 di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, semalam.


Sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia amat memerlukan pelbagai konsep dan formula penyatuan rakyat jelatanya ke arah pembinaan satu negara bangsa yang kukuh, muafakat, progresif dan makmur.

Konsep seperti ini juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke destini yang sehala, dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara pada setiap masa.

Pengaplikasian konsep ini memerlukan komitmen, kebijaksanaan dan ketegasan di kalangan pemimpin. Ia menuntut kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga.

Ia juga mengharapkan sumbangan ikhlas daripada seluruh organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama mendukung serta menjayakannya.

Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 yang lalu.

Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri yang sentiasa berusaha untuk menyatupadukan warganegara majmuk.

Ia bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional yang kemudiannya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa.

Ciri-ciri kekuatan nasional ini juga boleh digunakan untuk mencorak dan melaksanakan program pembangunan insan, pembangunan negara dan pembangunan ekonomi, di samping memperkasakan keupayaan Malaysia menembusi aneka peluang serta aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Ini membuktikan bahawa konsep 1Malaysia sekali-kali tidak serupa dengan Malaysian Malaysia ciptaan Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960-an yang kini dijadikan asas perjuangan sesetengah parti politik tertentu di negara ini.

Sebaliknya, konsep 1Malaysia membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri untuk memberikan erti yang seluas-luasnya kepada doktrin Rukun Negara yang diilhamkan oleh ayahanda beliau, iaitu Allahyarham Tun Razak Hussein, pada tahun 1970.

Konsep 1Malaysia juga mencerminkan usaha Perdana Menteri untuk memberikan roh dan jiwa kepada Gagasan Wawasan 2020 hasil daripada pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Konsep 1Malaysia juga bermatlamat mengukuhkan seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan keunggulan masyarakat pribumi dan kewujudan lain-lain warganegara Malaysia yang diiktiraf secara Perlembagaan atas prinsip muafakat, musyawarah dan penghormatan kepada kepelbagaian rupa bangsa di tanah air ini dalam negara yang merdeka dan berdaulat ini.

Lantaran itu, seluruh warga Malaysia perlu mendukung dan menyokong konsep 1Malaysia dengan sepenuh hati dan dengan keikhlasan yang total.

Sebagai generasi merdeka, saya sendiri amat yakin bahawa konsep ini akan berjaya mencapai matlamatnya jika ia diterima oleh seluruh warganegara, termasuk generasi merdeka seperti saya.

Ini kerana teras kepada konsep 1Malaysia adalah pemupukan perpaduan rakyat supaya mereka sentiasa mentaati, berpegang teguh dan menjunjung tinggi seluruh prinsip asas pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Oleh sebab itu, seluruh generasi merdeka di Malaysia perlu diberikan penjelasan terperinci mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang diperkukuhkan lagi oleh doktrin Rukun Negara.

Dengan itu saya cadangkan agar kerajaan mengambil usaha ke arah memasyarakatkan konsep 1Malaysia ini menerusi pendekatan serta program seperti berikut:

Satu: Kurikulum pendidikan rendah, menengah serta di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia mestilah memperkenalkan pengajian konsep 1Malaysia, Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara sebagai mata pelajaran wajib mengikut peringkat-peringkat sewajarnya, dengan secara serius, konsisten dan berterusan.

Dua: Kurikulum yang serupa mesti juga diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib di seluruh organisasi pembinaan generasi seperti pusat-pusat latihan belia dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Tiga: Organisasi masyarakat sivil dan NGO juga perlu digalakkan untuk menganjurkan siri penerangan mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang terkandung dalam konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Empat: Seluruh rangkaian radio dan televisyen di Malaysia juga mesti mewujudkan program-program penerangan serta penghayatan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti digalakkan untuk menaja program-program ini. Mereka boleh diberikan insentif pelepasan cukai bagi menaja program-program ini.

Lima: Golongan akademik dan penulis-penulis terkenal mestilah diberikan insentif untuk menulis buku-buku yang mengupas konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Hasil karya mereka mestilah dilambakkan ke dalam pasaran secara meluas dan segera supaya boleh dijadikan buku rujukan pengajaran di sekolah-sekolah, IPTA, IPTS, Pusat Latihan Belia dan PLKN.

Buku-buku ini juga perlu dijadikan rujukan kepada organisasi masyarakat sivil dan NGO dalam kegiatan mereka memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara. Buku-buku ini juga boleh dijadikan bacaan umum kepada seluruh warganegara.

Enam: Pelbagai program dan peraduan membabitkan usaha memasyarakatkan konsep 1Malaysia dan penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Doktrin Rukun Negara mestilah diadakan, sama ada oleh pelbagai agensi kerajaan, GLC atau organisasi masyarakat sivil dan NGO.

Tujuh: Parti-parti politik komponen Barisan Nasional mestilah diberikan arahan supaya turut memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Doktrin Rukun Negara kepada ahli masing-masing, terutamanya ahli-ahli mudanya.

Saya yakin seluruh cadangan di atas akan membantu kerajaan mengembangkan fahaman dan penghayatan warganegara Malaysia kepada konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Pembelajaran murid sekolah, para pelajar IPTA dan IPTS, serta para pelatih di Pusat Latihan Belia dan PLKN mengenai konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara juga pastinya akan menjadikan generasi merdeka yang masih muda sebagai warganegara yang lebih bersatu padu dan sentiasa rela untuk mempertahankan tanah air ini menerusi pelbagai tindakan dan aktiviti, baik di bidang informal, mahupun di sektor formal pada hari-hari mendatang.

Kejayaan konsep 1Malaysia memerlukan komitmen, dukungan serta sokongan semua pihak. Mulai sekarang, hentikanlah polemik dan tidak perlu lagi kita layani apa jua kritikan dangkal pihak-pihak tertentu yang negatif terhadap konsep ini.

Sebaliknya, kerajaan perlulah mewujudkan satu Sekretariat 1Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara, termasuk menerusi cadangan yang saya kemukakan ini, dapat dilaksanakan, dipantau dan diperkasakan pada setiap masa.

Seluruh sekolah, IPTA, IPTS, organisasi pendidikan informal kerajaan, termasuk pusat-pusat latihan belia dan PLKN, juga perlu mewujudkan sekretariat yang serupa supaya dapat menyelaras, melaksana, memantau serta menjayakan proses pemasyarakatan konsep 1Malaysia ini berjalan lancar dan berkesan.

Seluruh komponen BN, terutamanya sayap Puteri, Pemuda dan Wanitanya, hendaklah juga mempunyai sekretariat yang serupa semoga mereka turut menyokong, mendukung serta memasyarakatkan konsep 1Malaysia di peringkat warga siasah masing-masing secara komited, konsisten dan berterusan.

Ini semua pastinya akan menjadikan konsep 1Malaysia yang bersendikan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara menjadi satu konsep ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu di hari muka.

Di samping itu, seluruh cadangan yang saya kemukakan ini pastinya akan melahirkan dinamika warganegara Malaysia yang sihat ke arah masa depan yang dapat dibanggakan oleh seluruh rakyat, terutamanya generasi muda yang akan memberikan kesinambungan kepada kesejahteraan negara di masa depan.

Sebagai kesimpulan, saya selaku Ahli Parlimen dan Presiden Perkasa, berikrar untuk sama-sama menyumbang peranan bagi menjayakan usaha memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara di kawasan Parlimen saya sendiri, dan juga di peringkat Perkasa kebangsaan dan Perkasa negeri mulai waktu terdekat ini.

Datuk Ibrahim Ali ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, merangkap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Artikel ini dipadankan daripada kertas kerja yang belia bentangkan di Seminar Kebangsaan 1Malaysia, anjuran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia di Putrajaya pada11 Ogos 2009.

0 comments: