Minda Pengarang: Tragedi gas ammonia bocor beri peringatan usah abai keselamatan

Minda Pengarang: Tragedi gas ammonia bocor beri peringatan usah abai keselamatan

TRAGEDI kebocoran gas ammonia yang meragut enam nyawa di kilang memproses ikan di Tanjong Karang, Selangor pagi kelmarin mendedahkan betapa pentingnya aspek penjagaan keselamatan di tempat kerja. Sama ada majikan atau pekerja, kedua-duanya perlu mengambil berat perkara itu demi manfaat bersama. Dalam isu membabitkan keselamatan, tiada pihak boleh dikecualikan. Tanpa mengira saiz sesebuah organisasi, ia tidak harus menjadi ukuran tahap piawaian keselamatan yang diamalkan. Soal kemampuan kewangan bukan alasan untuk sesetengah majikan mengabaikan garis panduan keselamatan bagi kakitangan masing-masing. Semua pihak perlu mengambil langkah kolektif memastikan insiden kemalangan di tempat kerja dapat dikurangkan ke tahap minimum. Malangnya, walau pun amaran demi amaran dikeluarkan, kejadian berpunca daripada kelalaian manusia, terus berlaku. Jika komitmen dan tanggungjawab dilaksanakan dengan baik, insiden malang seperti yang berlaku di kilang memproses ikan di jeti persendirian di Kampung Bagan Pasir itu, pasti dapat dielakkan. Walaupun siasatan punca kejadian itu masih dijalankan, tidak keterlaluan untuk menyimpulkan wujud banyak kepincangan dalam prosedur keselamatan operasi kilang itu. Bermula dengan penggunaan sistem penyejukan buatan sendiri di tempat simpanan baja kilang itu hingga kepada prosedur operasi standard (SOP) pengendaliannya, jelas bahawa aspek keselamatan diabaikan. Sebab itulah apabila kebocoran gas berbahaya seperti ammonia itu berlaku, ia memberi kesan besar sedangkan kilang seperti itu sepatutnya mempunyai sistem amaran yang baik dan kakitangan yang bekerja dalam persekitaran berisiko seperti kolah penyejukan baja, dibekalkan peralatan pernafasan lengkap.

Kerajaan sudah mengambil banyak langkah meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja termasuk dengan menubuhkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh). Untuk memastikan matlamat sebenarnya dicapai, semua pihak harus sanggup menggembleng tenaga dan sumber. Pelbagai syarat dan garis panduan untuk membantu organisasi menjaga keselamatan persekitaran tempat kerja dirumus. Bagaimanapun, ia tidak akan membawa sebarang makna jika hanya dipandang sepi. Ketika semakin banyak organisasi menyambut baik usaha itu, masih ada yang culas dan memberi pelbagai alasan untuk tidak mematuhi garis panduan ditetapkan. Kelompok ini, biasanya pengusaha kecil berpendapat, langkah mematuhi piawaian keselamatan hanya membazirkan wang dan mengurangkan keuntungan. Mereka seolah-olah menafikan hakikat bahawa aset terbesar sesebuah organisasi ialah sumber manusia, justeru ia harus dijaga sebaiknya. Memang objektif utama perniagaan adalah keuntungan, tetapi ia harus diraih secara bertanggungjawab dan beretika. Mengetepikan nasib pekerja bukan caranya apatah lagi dalam kes seperti di Tanjong Karang yang turut memberi risiko kepada persekitaran kerana kebocoran ammonia memaksa penduduk berdekatan mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga. Dalam usaha mengejar kemajuan, budaya positif seperti jaminan keselamatan di tempat kerja perlu diterapkan. Tragedi malang yang meragut enam nyawa di Tanjong Karang harus dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya tidak sekali-kali mengabaikan keselamatan di tempat kerja.

0 comments: