Tunku Ibrahim menjelajah lagi

Tunku Ibrahim menjelajah lagi

Ingin mendekati setiap kelompok rakyat di bawah pemerintahannya, baginda akan menjelajah masuk ke kampung Orang Asli mulai hari ini untuk program Kembara Mahkota Johor.


TUNKU IBRAHIM ISMAIL (kanan) dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim menunjukkan potret Kembara Mahkota Johor.


SABAN tahun rakyat negeri Johor memang menantikan program Kembara Mahkota Johor (KMJ). Ini kerana menerusi program itu, mereka dapat beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.

Sekali imbas, mungkin ramai yang berasa 'gerun' untuk berhadapan dengan Tunku Mahkota, namun di sebalik wajah serius Tunku Ibrahim Ismail, baginda sebenarnya amat mudah berdamping dengan rakyat jelata sehingga dianggap sebagai seorang anak raja berjiwa rakyat.

Semua itu terbukti apabila Tunku Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958, sanggup berpanas atau berhujan pada setiap siri KMJ yang diadakan setiap tahun semata-mata tidak mahu menghampakan rakyat yang mahu bertemunya.

Sikap mesra Tunku Mahkota itu sebenarnya telah menyebabkan rakyat begitu senang dan selesa setiap kali bersalaman sehingga ramai yang melahirkan rasa kagum dan tersentuh dengan cara baginda mendekati rakyat.

Begitu jugalah yang akan diberikan oleh Tunku Mahkota pada KMJ Jelajah Pedalaman yang akan memulakan program KMJ edisi ke-11 mulai hari ini.

KMJ kali ini mengambil masa empat hari tiga malam dengan jarak pengembaraan mencecah 1,030 kilometer.

Majlis pelepasan diadakan di Bukit Timbalan, Johor Bahru pada pukul 8 pagi hari ini dan penutupannya pada 7 Julai di Dataran Majlis Daerah Pontian, Benut pukul 12.45 tengah hari.

Program yang bakal disertai oleh 150 peserta itu akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Menurut Tunku Ibrahim Ismail, sepanjang kembara, rombongan yang terdiri daripada wakil rakyat dan pegawai kerajaan itu menjelajah ke kawasan pedalaman di 10 daerah di negeri ini.

Sebanyak 11 buah perkampungan Orang Asli dengan tiga buah kampung tradisi akan dilawati, antaranya kawasan Tadahan Air Gunung Ledang, Tangkak dan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.

Tunku Ibrahim Ismail bertitah, apa yang paling penting pada kembara kali ini adalah mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat di pedalaman terutamanya Orang Asli untuk berubah mengikut peredaran zaman.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka mesti menukar adat dan tradisi yang diamalkan sejak sekian lama. Itu saya tidak mahu mereka ubah.

"Biarlah mereka berubah dari segi sikap menerima pembangunan dan sebagainya," titah Tunku Mahkota semasa ditemu bual Kosmo! dan Utusan Malaysia di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru baru-baru ini.


KENDERAAN pacuan empat roda telah diubah suai untuk kegunaan program Kembara Mahkota Johor.


Selain itu, aspek pendidikan turut akan diberi tumpuan agar anak-anak Orang Asli mampu mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik.

Tunku Ibrahim Ismail bertitah, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pelajaran termasuk sekolah untuk anak-anak Orang Asli.

Dalam pada itu, Tunku Ibrahim Ismail bertitah, penyertaan wakil rakyat dan pegawai kerajaan akan memberi ruang kepada mereka untuk melihat sendiri pembangunan yang kerajaan telah laksanakan.

"Hasil daripada lawatan itu nanti, kita akan tengok pembangunan apa yang boleh dilaksanakan pada masa depan.

"Selalunya Orang Asli mahukan infrastruktur, jalan raya, air dan api," titahnya lagi.

Mengenai persiapan KMJ kali ini, Tunku Mahkota bertitah, terdapat lima kenderaan 4WD yang telah diubah suai khusus untuk kegunaan bersama anakanda termasuk Raja Muda Johor (RMJ) Tunku Ismail Ibrahim.

Apa yang menarik pada kembara kali ini adalah tiada acara bermalam di rumah penduduk seperti yang dilakukan sebelum ini, sebaliknya rombongan akan bermalam di dalam khemah yang didirikan berhampiran rumah orang kampung.

Tunku Ibrahim Ismail mengakui bekalan makanan dan minuman telah pun disiapkan lebih awal sejak enam bulan lalu dan rombongan akan memasak sendiri makanan tersebut memandangkan kenderaan 4WD turut dibekalkan dengan tempat untuk memasak, selain khemah yang turut dilengkapi dengan air mandian (shower) dari tangki di belakang kenderaan.

"Saya fikir konsep berkhemah seperti ini lebih mesra rakyat kerana dapat merasai sendiri kehidupan mereka di kawasan berkenaan," titah Tunku Mahkota.


TUNKU IBRAHIM ISMAIL (kanan) memeriksa bekalan makanan yang akan dibawa.


Ditanya mengenai rahsia kekuatan stamina lebih-lebih lagi bagi mengharungi perjalanan jauh seperti KMJ, Tunku Ibrahim Ismail bertitah, tiada rahsia, cuma penjagaan kesihatan yang berterusan perlu dilakukan sepanjang masa.

"Paling penting jaga kesihatan, itu saja," titah Tunku Mahkota.

Tunku Ibrahim Ismail juga bertitah, tiada apa yang paling menggembirakan baginda, selain bertemu rakyat jelata dan mendengar masalah mereka dari hati ke hati.

0 comments: