|
|
EPISOD yang melibatkan kapal pengangkut Kang Nam 1 milik Korea Utara mempamerkan bagaimana sukarnya untuk membaca strategi dan isi hati pemimpin tertinggi Pyongyang. Kapal tersebut yang memulakan pelayaran dari pelabuhan Nampo pada 17 Jun 2009 dipercayai membawa komponen peluru berpandu.
Mengikut maklumat perisikan yang dibekalkan Amerika Syarikat (AS), destinasi akhir Kang Nam 1 ialah pelabuhan Thilawa, Myanmar.
Sepanjang menyusuri perairan China, Kang Nam 1 telah dibayangi oleh kapal pemusnah tentera Laut AS iaitu USS John McCain. Perlu diberi perhatian bahawa apa yang dilakukan USS John McCain adalah berlandaskan kepada Resolusi 1874 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang antara lain membenarkan pemeriksaan dilakukan terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Korea Utara yang disyaki membawa komponen peluru berpandu atau nuklear.
Resolusi 1874 yang dikuatkuasakan pada 12 Jun lalu adalah susulan daripada tindakan Pyongyang yang melakukan ujian letupan nuklear pada 2 Mei lepas.
Oleh kerana telah terbukti pada masa lampau teknologi nuklear Korea Utara dipindahkan ke negara lain seperti Syria dan Iran, maka resolusi PBB itu diperkenalkan untuk mengekang aktiviti gelap Pyongyang dan Kang Nam 1 adalah kapal pertama dibayangi menggunakan resolusi tersebut.
Jika dakwaan bahawa Kang Nam 1 membawa komponen peluru berpandu itu benar maka tindakan Pyongyang itu agak memeranjatkan kerana semenjak ujian letupan nuklear pada bulan Mei lepas, segala tindakan pemimpin Korea Utara diperhatikan secara teliti oleh masyarakat antarabangsa.
Lambat laun Kang Nam 1 terpaksa berlabuh untuk mengisi minyak dan masa terbaik untuk melakukannya adalah ketika menyusuri Selat Melaka yang mana Pelabuhan Kelang atau Singapura merupakan dua pilihan terbaik.
Ketika ini resolusi 1874 dapat dilaksanakan dengan mudah. Seperti yang diketahui pada Rabu lepas, Kang Nam 1 berpatah balik dan dipercayai menuju Korea Utara sebelum sempat melewati Selat Melaka.
Agak pelik strategi Pyongyang tetapi episod Kang Nam 1 jelas mempamerkan bagaimana pentadbiran Presiden Barack Obama akan menghadapi Pyongyang mengenai isu pembangunan nuklear negara komunis tersebut.
Semenjak Kang Nam 1 meninggalkan pelabuhan Nampo pada 17 Jun, segala kemudahan teknologi risikan AS digunakan, sama ada penggunaan satelit pengintip sehinggalah kepada kapal pemusnah untuk memberi isyarat kepada Pyongyang bahawa Washington tidak akan teragak-agak melaksanakan Resolusi 1874.
Walaupun AS mempunyai program yang dinamakan Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) yang mempunyai objektif selari dengan Resolusi 1874, tetapi keberkesanannya agak terhad kerana pelaksanaannya tidak disokong oleh PBB. Kehadiran 1874 boleh dianggap sebagai bulan jatuh ke riba kerana itulah yang diharapkan oleh Washington selepas PSI menemui jalan buntu.
Tetapi agak memeranjatkan jika benar seperti yang didakwa oleh Washington bahawa Kang Nam 1 membawa komponen peluru berpandu menuju ke Myanmar, maka timbul pula pertanyaan semenjak bila Yangon mempunyai cita-cita geopolitik yang agak besar.
Ini adalah kerana teknologi peralatan ketenteraan junta Myanmar adalah agak terhad dan masalah utama yang dihadapi oleh mereka adalah tekanan politik dalaman. Pemilikan peluru berpandu sebenarnya tidak memberi manfaat kepada junta tersebut.
Tetapi apa yang paling dicurigai oleh Washington adalah kandungan kargo Kang Nam 1 sebenarnya menuju ke negara Timur Tengah seperti Iran dan Syria dan Yangon hanyalah transit sementara sebelum menuju ke destinasi sebenar.
Telah berlaku beberapa kali di mana Pyongyang menggunakan Yangon sebagai transit jalan udara melalui Rusia, Pakistan dan India untuk menghantar komponen teknologi nuklear ke negara Timur Tengah.
Kali terakhir strategi ini digunakan adalah pada tahun 2008 apabila kapal terbang pengangkut Ilyushin milik Myanmar berlepas dari lapangan terbang Mandalay menuju ke Iran dengan membawa komponen peluru berpandu.
Operasi tersebut gagal kerana New Delhi tidak memberi kebenaran melalui ruang udara India. Perlu diingatkan keputusan tidak membenarkan Ilyushin merentasi ruang udara India diambil di bawah program PSI.
Memang benar sukar untuk menentukan kandungan sebenar kargo Kang Nam 1 sehingga ia diperiksa secara fizikal sama ada menggunakan 1874 atau PSI. Jika benar Kang Nam 1 telah berpatah balik ke Korea Utara maka besar kemungkinan kargo kapal tersebut adalah sesuatu yang mahu disembunyikan oleh Pyongyang.
Jika kargo Kang Nam 1 tidak menyalahi resolusi 1874, maka sudah pasti Pyongyang tidak keberatan membuat singgahan di mana-mana pelabuhan Selat Melaka kerana berpatah balik memberi persepsi yang agak tidak baik.
Seperti yang berlaku pada tahun 2006 dimana kapal pengangkut Korea Utara yang mempunyai nama yang serupa iaitu Kang Nam diperiksa ketika berlabuh di pelabuhan Hong Kong kerana disyaki membawa komponen yang sensitif. Seperti yang diketahui pemeriksaan tersebut yang dapat dilakukan tanpa bantahan dari Pyongyang tidak menemui komponen senjata pemusnah besaran seperti yang disyaki.
Episod Kang Nam 1 mempamerkan bagaimana isu penularan senjata pemusnah besar-besaran dapat dibendung melalui kerjasama masyarakat antarabangsa seperti yang telah ditunjukkan oleh Resolusi 1874 dan bukannya melalui keputusan unilateral seperti program PSI milik AS.
PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
0 comments:
Post a Comment