Minda Pengarang: Pakatan Rakyat

Minda Pengarang: Pakatan Rakyat

PENUBUHAN jawatankuasa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kononnya untuk memantau setiap kementerian adalah gimik politik pembangkang. Ia digembar-gemburkan untuk mengalih pemerhatian terhadap pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam pakatan itu kebelakangan ini. Parti-parti dalam PR perlu menunjukkan kewibawaan masing-masing terlebih dulu sebelum boleh diberi pengiktirafan untuk melihat kelemahan orang lain. Percanggahan yang wujud antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, tidak melayakkan mereka untuk memantau kementerian yang wujud di negara ini. Perbaikilah diri sendiri dulu sebelum mahu mengajar orang lain. Memadailah membangkitkan isu-isu membabitkan kementerian pada sidang Dewan Rakyat. Lihat sajalah barisan jawatankuasa ditubuhkan PR. Walau apa pun alasannya, jawatankuasa ini adalah 'Kabinet Bayangan' PR. Walaupun, ia adalah 'Kabinet olok-olok', tindakan itu sudah menampakkan kesukaran parti itu untuk mengimbangi kedudukan perwakilan mengikut kedudukan parti. Jalan mudah ialah memilih setiap wakil daripada setiap parti untuk duduk di kementerian yang penting dan berkuasa. Isunya ialah apakah perlu setiap kementerian mempunyai tiga wakil daripada ketiga-tiga parti dalam PR. Atau, mungkinkah akan ada tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kelmarin, Pakatan Rakyat mengumumkan penubuhan jawatankuasa Ahli Parlimen untuk memantau setiap kementerian sebagai persediaan untuk membahaskan pelbagai isu di Dewan Rakyat. Berdasarkan senarai jawatankuasa itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi tanggungjawab menjaga Jabatan Perdana Menteri. Kita ingin tahu juga, siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Ketiga-tiga pemimpin itu dibantu oleh masing-masing enam wakil PKR dan Pas serta tiga wakil DAP.

Andainya pembentukan jawatankuasa Ahli Parlimen ini dijadikan asas untuk penubuhan Kabinet bayangan, sudah pasti timbul rasa tidak puas hati di kalangan parti tertentu dalam PR. Lebih teruk lagi, tiada wakil dari Sarawak dan Sabah dalam jawatankuasa Ahli Parlimen itu, tidak selari dengan janji mereka kononnya dua negeri itu akan diberi perhatian khusus. Apakah penubuhan ala Kabinet bayangan itu, helah Pakatan Rakyat untuk mengalih tumpuan rakyat ketika mereka sendiri berdepan masalah. Umum tahu pakatan itu bermasalah bermula dengan perbincangan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno dan tindakan DAP Kedah yang keluar daripada kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu. Dengan itu, kita boleh andaikan penubuhan jawatankuasa itu sekadar 'drama' yang cuba menunjukkan mereka bersatu lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai di Kelantan, tetapi hakikatnya Pakatan Rakyat kini berdepan pelbagai masalah. Justeru, tindakan menubuhkan jawatankuasa Ahli Parlimen itu juga boleh dianggap sebagai perang psikologi mereka terhadap kerajaan BN untuk menarik perhatian umum dan strategi mengaburi mata pengundi di Manek Urai. Tiada siapa boleh menghalang hasrat pembangkang, termasuk penubuhan Kabinet bayangan, tetapi percikan awal sudah nampak tiada persefahaman dalam pengagihan portfolio jawatankuasa Ahli Parlimen kerana ada parti tertentu dipinggirkan daripada kementerian penting dan ada wakil negeri diabai. Rakyat boleh menilai kerana hanya perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) agak menyeluruh serta tidak meminggirkan mana-mana negeri, kaum atau parti komponennya. Mereka cuba meniru ala-BN, tetapi tidak berjaya.

0 comments: