|
|
AWAL subuh pagi kelmarin, Lembah Helmand yang terletak di kawasan utara Afghanistan dikejutkan dengan bedilan peluru dan mortar.
Kawasan yang terletak di perbatasan Afghanistan-Pakistan itu beberapa jam sebelumnya, sudah terkepung secara lautan, daratan dan udara.
Sepasukan tentera marin Amerika Syarikat (AS) seramai kira-kira 4,000 orang sejak tengah malam Rabu, diturunkan ke wilayah bergolak itu menggunakan kapal perang.
Mereka akan menyertai sejumlah besar angkatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan AS lain yang sudah sedia berada di perkampungan Nawa yang berjarak kira-kira 30 kilometer dari ibu kota Lashkar Gah.
Misi menggempur yang dikenali Operasi Khanjar itu turut diperkuatkan oleh kira-kira 650 anggota polis dan tentera Afghanistan.
Menurut Washington, misi itu antara lain bertujuan mewujudkan keamanan menjelang pemilihan Presiden Afghanistan yang dijadual pada 20 Ogos ini.
Operasi Khanjar itu juga merupakan misi pertama selepas bekas komander pasukan operasi khas di Iraq dan Afghanistan, Leftenan Jeneral Stanley McChrystal dilantik mengetuai NATO pada Mei lalu.
McChrystal menggantikan Jeneral David McKiernan dalam perubahan kepimpinan yang disifatkan oleh Setiausaha Pertahanan AS sebagai memberi laluan kepada pemikiran baru pada detik penting dalam konflik selama tujuh tahun di negara berkenaan.
Namun, pemerhatian operasi menggempur Taliban itu bagaimanapun menjurus kepada perencana sebenar iaitu Presiden baru AS, Barack Obama.
Sejak mengambil alih kepimpinan Washington awal tahun ini, Obama memperhebatkan kempen perang menghapuskan pemberontakan Taliban.
Ia termasuk dengan meluluskan kerahan yang akan meningkatkan saiz tentera AS di Afghanistan kepada 68,000 orang menjelang bulan depan.
Dinilai sebagai satu percaturan ketenteraan yang penuh berisiko oleh Obama, operasi yang membawa maksud 'Hayunan Pedang' itu mendapat reaksi yang pantas daripada kebanyakan penganalisis politik antarabangsa.
Antara yang menjadi sorotan utama ialah penilaian ke atas dasar semasa AS di negara yang dijajah sejak 2002 itu.
Tidak dinafikan, misi menggempur saki baki kumpulan Taliban itu ada kaitannya dengan persediaan menjelang pemilihan Presiden Afghanistan.
Ini kerana sebagai negara pentadbir sebenar Afghanistan, AS perlu memastikan penguasaan Taliban ke atas negara itu berjaya dipatahkan agar tidak menjejaskan perjalanan pemilihan nanti.
Apatah lagi pergerakan kumpulan Taliban juga dilihat semakin aktif di bahagian utara terutamanya di perbatasan negara itu dengan Pakistan.
Sebelum ini, kumpulan yang dipimpin oleh Mullah Omar itu hanya melancarkan serangan dari arah timur dan selatan Afghanistan.
Bagaimanapun sesuatu yang perlu lebih difahami daripada serangan itu ialah ia sebenarnya bakal mencerminkan penguasaan sebenar AS di negara berkenaan.
Hakikat itu dikongsi oleh pensyarah oleh pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling.
Menurut beliau, setiap pelaksanaan dasar dan proses pembentukan kerajaan di Afghanistan adalah peristiwa yang akan menggambarkan kejayaan atau kelemahan AS.
Justeru, AS perlu mempertahankan dakwaan bahawa Washington berjaya mencipta kestabilan kepada masyarakat dan negara Afghanistan selepas lapan tahun menakluki negara itu.
Kesungguhan AS itu tambah Mohamad Faisol, dapat dilihat berdasarkan keputusan Obama meneruskan dasar yang diperkenalkan oleh George W. Bush.
Ini kerana dari kaca mata AS, ancaman Taliban bukanlah ancaman yang kecil.
Sebaliknya, Taliban mampu mengancam kepentingan AS yang tidak hanya di Afghanistan (Asia Tengah), malah berupaya menggugat kestabilan kuasa AS di seluruh rantau Asia Selatan.
Maka, AS perlu meneruskan dasarnya di Afghanistan kerana lokasinya merupakan kepentingan dalam strategi pengawasan terutamanya terhadap Rusia di (Eropah Timur), Iran (Asia Barat) dan Pakistan serta India (Asia Selatan).
''Malah penguasaan ke atas Afghanistan dan Pakistan juga merupakan strategi yang dapat mengawal dua buah kuasa besar dunia iaitu Rusia dan China yang mampu menggugat cengkaman AS dalam sistem antarabangsa," ujar Mohamad Faisol.
Ironinya Operasi Khanjar itu dilancarkan kira-kira tiga hari selepas AS mengumumkan pengunduran tentera mereka dari Iraq.
Ketika pengunduran tentera AS dari Iraq itu dinilai sebagai dasar lebih berlembut Washington dalam mendepani konflik dengan negara-negara Islam, Operasi Khanjar pula memperlihatkan pendirian sebaliknya.
Sewaktu perkara ini diajukan kepada Mohamad Faisol, beliau menjelaskan penguasaan AS ke atas Iraq dan Afghanistan adalah dua senario yang amat berbeza.
Ini kerana katanya, kedudukan kerajaan boneka di Iraq yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Nuri al-Maliki lebih stabil.
Nuri juga mampu mengawal pentadbiran negara dengan corak pemerintahan sendiri.
Berbanding di Afghanistan, kerajaan Presiden Hamid Karzai, AS dan NATO hakikatnya hanya menguasai wilayah tertentu dan bukannya keseluruhan kawasan sebenar.
Buktinya, Hamid Karzai sendiri pernah diserang secara langsung dan Taliban juga mampu melakukan serangan bom di ibu kota Afghanistan pada 27 April 2008.
''Ini bermakna 'penguasaan' yang diwar-warkan oleh AS hanyalah strategi psikologi bagi mendapat sokongan dan keyakinan masyarakat dunia bagi menutup kelemahan yang wujud," jelas Mohamad Faisol.
Dunia juga tidak boleh tersilap menduga mengenai dasar Washington menerusi pendekatan Obama ke atas negara-negara yang dijajahnya terutama Iraq dan Afghanistan.
Ini kerana Obama sewaktu berkempen pada pemilihan Presiden AS tahun lalu hanya menyentuh mengenai dasar terhadap Iraq dalam manifestonya.
Sebaliknya, beliau tidak begitu memberikan perhatian terhadap dasar dan pendirian AS di Afghanistan.
Bagi Mohamad Faisol, ini memandangkan AS selama ini meletakkan harapan kepada Pakistan untuk menjalankan dasar tersebut.
Dalam erti kata yang lain, Obama hanya memperjuangkan mengenai nasib tentera AS di Iraq dan bukannya untuk menarik diri daripada Afghanistan.
- MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
0 comments:
Post a Comment