Kit Siang terus 'panaskan' Dewan Rakyat

Kit Siang terus 'panaskan' Dewan Rakyat

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

SIDANG Dewan Rakyat bagi mesyuarat dan penggal kedua, Parlimen ke-12 telah melabuhkan tirainya, Khamis lalu. Insya-Allah, sesi akan datang dijadual bermula pada 19 Oktober hingga 15 Disember, selama 35 hari. Ia sebenarnya amat ditunggu-tunggu oleh pakatan pembangkang bagi membahaskan laporan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dijangka dibentangkan.

Ketidaksabaran pembangkang itu telah ditunjukkan dengan jelas pada minggu kedua sidang Dewan Rakyat lalu apabila Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) telah mengasak bertubi-tubi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai PKFZ.

Pada minggu terakhir pula iaitu Selasa lalu, sekali lagi Kit Siang menunjukkan kehebatannya dengan menyerang peribadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) 2009 yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sesi itu menjadi kecoh apabila Kit Siang bangun mencelah sambil menyifatkan Hishammuddin sebagai 'menteri pondan' kerana tidak hadir ketika sesi penggulungan rang undang-undang itu yang banyak menyentuh mengenai polis.

Mohamed Nazri yang berang dengan dakwaan Kit Siang itu menegaskan bahawa Hishammuddin tidak perlu hadir kerana SIAP akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan Kementerian Dalam Negeri.

"Bagi saya, Ipoh Timur yang pondan kerana bertanyakan soalan mengenai polis waktu menteri tidak ada. Depan saya ini semua (pembangkang) pondan-pondan belaka. Kalau betul jantan, tunggu menteri datanglah," katanya.

Sementara itu, Dewan terkedu sekejap apabila Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) yang bangun mencelah mempertikaikan keghairahan anggota Parlimen membahaskan isu integriti sedangkan pada pendapat beliau kebanyakan daripada mereka tidak menunjukkan ketinggian integriti sebenarnya.

Mesyuarat sidang Dewan Rakyat kali ini turut menyaksikan kelibat Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa setelah beliau 'menghilangkan diri' beberapa minggu sebelum itu ekoran desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memintanya meletakkan jawatan dalam parti dan menyertai UMNO berhubung idea kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun pemimpin muda itu amat bijak 'mengelakkan' diri daripada perhatian pemberita yang sememangnya sentiasa berada di kawasan lobi Parlimen. Buktinya sejak insiden itu berlaku, tidak pernah 'sesuatu' pun terkeluar daripada mulut beliau.

Pada Rabu lalu, satu perkembangan amat positif dalam arena politik negara turut berlaku apabila Dewan Pemuda Pas melalui ketuanya, Nasruddin Hasan Tantawi menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka bertajuk "Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam" kepada Pemuda UMNO.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim menerima surat jemputan tersebut di lobi Parlimen. Bagaimanapun seperti biasa, DAP terus 'melompat' dengan menyuarakan perasaan tidak senang dengan perkembangan tersebut.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook dalam reaksi segera tidak sampai beberapa jam selepas pelawaan itu dibuat, berkata tindakan tersebut akan memberi mesej yang mengelirukan penyokong pakatan pembangkang.

0 comments: