'Lelaki' hamil bukti budaya Barat tenat
Oleh Siti Suriani Othman
THOMAS Beatie, 'lelaki' pertama yang mengandung melahirkan anak kedua dua minggu lalu. Berita mengenai 'lelaki mengandung' pernah menggemparkan dunia tahun lalu.
Dengan paparan gambar 'lelaki' yang berjambang dengan perut membuyung di media dan internet, Beatie yang sah secara perundangannya sebagai lelaki dikatakan sebagai lelaki pertama di dunia yang boleh mengandung dan melahirkan anak.
Namun latar belakang Beatie sebenarnya dilahirkan seorang perempuan. Dia melakukan pembedahan tukar jantina untuk menjadi lelaki, tetapi tidak membuang sistem peranakannya. 'Bapa' berusia 35 tahun itu kemudian mendapati 'isterinya' tidak boleh mengandung dan kerana inginkan anak sendiri, Beatie berhenti mengambil hormon lelaki dan mereka membeli sperma daripada internet.
Selepas percubaan kedua, mengandunglah si 'bapa' ini. Komen Beatie mudah apabila ditanya media, iaitu 'orang ramai terkejut dengan hal ini kerana ia adalah sesuatu yang baru. Tetapi dalam era baru ini, semuanya tidak mustahil dan itulah yang berlaku sekarang.' Beliau menjawabnya dengan tenang tanpa rasa bersalah.
Kelahiran anak pertama dan kini baru melahirkan anak kedua menyaksikan pelbagai reaksi masyarakat seluruh dunia. Dengan kemudahan internet, berita mengenai lelaki boleh mengandung itu tersebar luas ke serata dunia dalam masa kurang 24 jam saja.
Dari sehari ke sehari, perkembangan Beatie diikuti ramai dan pelbagai blog turut memaparkan pandangan mereka diikuti komen daripada pengikut blog. Satu blog yang saya baca menunjukkan, majoriti pembaca bersetuju dengan tindakan Beatie dan 'isterinya' Nancy.
Hujah mereka antara lain ialah 'mereka melakukan sesuatu yang luar biasa atas nama cinta dan saya amat mengagumi pasangan itu', 'mereka mempunyai hak untuk mendapat anak kandung', 'anak itu bertuah mendapat ibu bapa yang menyayangi antara satu sama lain dan sanggup berkorban demi mereka', 'cubaan mereka ini menunjukkan manusia boleh buat apa saja,' 'keberanian sebeginilah yang akan membawa perubahan dalam masyarakat', 'mengapa pasangan ini harus dibenci? Lelaki atau perempuan yang melahirkan anak bukan isunya' dan tidak kurang yang mengucapkan tahniah dan mencemuh doktor yang pernah menolak untuk merawat Beatie demi kepercayaan agama mereka.
Dalam blog secara umumnya, tidak ramai yang menentang perbuatan Beatie dan pasangannya itu. Ada yang memberi hujah agama, tetapi ditentang pula oleh mereka yang tidak menganut sebarang agama. Namun ada juga mengatakan isu 'lelaki mengandung' ini bukanlah isu yang perlu diperbesarkan kerana Beatie sebenarnya adalah seorang wanita.
Ada juga yang menyatakan apa yang mereka lakukan adalah semata-mata kerana dorongan material kerana mereka dibayar sejumlah wang untuk tampil dalam media. Dalam komen yang tidak berpenghujung itu, hanya beberapa komen memberi amaran kepada Beatie 'awak mempermainkan Tuhan dan ini tindakan yang salah'.
Peristiwa sebegini memberi ruang untuk pelbagai wacana dibincangkan dalam perspektif masing-masing. Wacana ini secara tidak langsung menunjukkan hanya sebilangan masyarakat Barat yang mengambil kira 'Tuhan' dalam hujah mereka mengenai isu ini.
Walaupun jumlah penyokong dan penentang Beatie tidak diketahui secara jelas, di kalangan umat Islam jawapannya mudah, ia haram di sisi agama. Tidak perlu hujah yang perlu didebatkan kerana hakikatnya ia bukan satu isu untuk perbincangan. Jawapannya sudah ada dihukumkan di sisi agama.
Dalam hal ini, saya melihat dari satu sudut menarik bagaimana isu ini yang memang fitrahnya luar biasa, tetapi menyongsang arus dapat diterima ramai. Selain latar belakang masyarakat Barat yang kononnya lebih terbuka dan sentiasa bersedia menerima perkara baru sungguhpun ia bertentangan agama, hujah dalam blog banyak memperlihat masyarakat menyokong pasangan luar biasa ini atas dasar cinta dan pengorbanan serta kasih sayang yang ditonjolkan dalam video berkaitan mereka.
Pada hemat saya, masyarakat Barat yang umumnya bersifat praktikal dan pada masa sama, tidak dinafikan sudah ramai yang melupai agama mereka tidak menentang pasangan ini kerana melihat kepada praktikaliti dan logik tindakan mereka.
Atas hujah yang menyokong mereka seperti yang dipaparkan tadi, kasih sayang yang mereka tonjolkan menjadi sumber inspirasi sesetengah masyarakat yang memberi tanggapan umum bahawa pasangan Beatie adalah contoh pasangan moden yang berani berdiri di atas hak mereka.
Sesuatu yang baru boleh dipelajari umat Islam dalam perkara ini, masyarakat yang praktikal dan terbuka hari ini menilai antara lain daripada 'tindakan luaran' yang ditonjolkan kepada masyarakat.
Perkara yang silap boleh menjadi betul (seperti kes Beatie yang menonjolkan kasih sayang dalam sorotan menentang fitrah manusia itu) dan sebaliknya (seperti buruknya imej Islam di mata Barat sebagai pengganas) kerana penilaian luaran yang membawa kepada tanggapan tertentu.
Daripada pemerhatian saya di UK ini, imej yang ditampilkan umat Islam kepada masyarakat tempatan adalah rata-ratanya tidak mesra (antaranya sukar melemparkan senyuman dan tidak bertegur sapa) dan tidak berupaya mencontohi kebaikan mudah yang mereka budayakan seperti beratur, mengucapkan terima kasih dan bersopan di jalan raya.
Imej luaran inilah yang dijadikan tanggapan umum masyarakat dan dinilai mereka serta akhirnya dengan mudah menyimpulkan bahawa umat Islam memang 'pengganas' seluruhnya daripada segala aspek kehidupan.
Jika kita sama-sama dapat mengambil teladan daripada budaya baik mereka dan belajar mendidik diri, kita bukan hanya berupaya membetulkan pandangan mereka kepada Islam yang selama ini bersifat stereotaip negatif, malah mungkin menarik mereka mempelajari ajaran Islam sebenar tanpa diselindungi budaya bangsa yang berbeza.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, United Kingdom
0 comments:
Post a Comment