|
|
Pendakwah serta pengasas Asrama Baitul Ummah ini pernah menjadi bapa ayam.
|
|
PENGORBANAN pengasas Asrama Baitul Ummah, Abdul Rahman Ramani Abdullah, 40, sememangnya besar.
Beliau sanggup menjual rumah dan barangan elektrik miliknya seperti televisyen dan mesin basuh demi mendapatkan wang membina rumah kebajikan itu yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.
Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, dia menceritakan saat kehilangan ibu bapa ketika berumur 12 tahun.
"Ayah dan ibu meninggalkan lapan orang anak termasuk saya yang merupakan anak keempat. Masing-masing belum pandai mengurus keperluan hidup.
"Kami berlapan mengambil keputusan membawa haluan masing-masing. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan modal RM10," ujarnya sebak.
"Sampai sahaja ke Kuala Lumpur saya tidur merempat termasuk di perhentian bas dan di tepi jalan sebelum diterima bekerja di sebuah restoran mamak di Sungei Way, Petaling Jaya.
"Saya buat kerja macam-macam daripada mencuci pinggan, mengambil pesanan hingga membancuh air minuman. Upahnya cuma tempat tinggal dan juga makanan untuk mengisi perut.
"Tetapi tidak lama selepas itu saya ditahan pihak berkuasa kerana bekerja di bawah umur. Selepas itu saya ditempatkan di rumah anak yatim kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor.
"Saya tinggal di situ selama enam tahun iaitu sehingga umur 18. Rasa sedih juga kerana terpisah dengan adik-beradik kandung.
"Rumah itu menjadi tempat untuk berteduh dan mendapatkan sesuap nasi. Rumah anak yatim dahulu kurang menitikberatkan soal pendidikan berbanding sekarang," katanya.
Tersentuh dengar azan
Sebaik sahaja keluar dari rumah anak yatim, Abdul Rahman terus bekerja di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
"Sepanjang bekerja saya yang beragama Hindu banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu.
"Mungkin ini ketentuan Allah. Malah semasa kecil saya selalu menonton rancangan mengaji al-Quran di televisyen.
"Tetapi saya amat tersentuh mendengar laungan azan yang amat unik menyebabkan saya mengambil keputusan memeluk Islam," katanya sayu.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Abdul Rahman diberhentikan oleh majikannya. Dia terpaksa hidup merempat sekali lagi. Permohonannya untuk mendapat bantuan zakat pula tidak dilayan.
Pernah dia dihalau kerana ingin tidur di masjid.
"Saya lihat ada beberapa orang musafir yang tidur di beberapa buah masjid di Kuala Lumpur, jadi saya minta supaya dibenarkan menumpang teduh untuk sementara waktu.
"Saya ada menunjukkan kad mualaf tetapi tidak diterima pihak pengurusan masjid. Saya bukan ingin mencuri dan membuat perkara tidak baik.
"Akhirnya saya kembali kepada kehidupan asal sewaktu mula datang ke Kuala Lumpur dengan menjadikan tepi longkang, taman permainan dan juga tepi jalan sebagai tempat untuk melelap mata," katanya.
Kemudian, Abdul Rahman bergaul dengan beberapa peniaga tepi jalan. Dari situlah dia mengenali kumpulan samseng yang mencari wang dengan cara yang mudah.
Kerana wang juga beliau hampir membunuh orang dalam satu pergaduhan. Dia turut terlibat dengan aktiviti pelacuran dan menjual VCD lucah.
Sebagai bapa ayam pula, Abdul Rahman mendapat komisen yang agak lumayan.
"Kadang-kadang saya dapat komisen RM200 seorang. Jika ada lima orang pelacur, sekali langganan dah RM1,000.
"Itu belum ikut pakej langganan berlainan yang hasilnya boleh mencecah ribuan ringgit sehari," kesalnya.
Ketika itu, namanya sangat dikenali di Jalan Pahang, Chow Kit dan Jalan Ipoh kerana kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah.
Abdul Rahman mengakui pendapatannya ketika itu boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu, semua hotel pernah menjadi tempat dia bermalam.
Hidayah kedua
Namun petunjuk Allah tiada siapa yang tahu.
"Ada seorang ustaz yang sering menasihatkan saya supaya berubah. Mulanya saya berdegil tetapi lama-kelamaan mula berfikir sampai saya harus sebegini.
"Melakukan dosa tidak menyenangkan hidup walaupun dilimpahi kemewahan," Abdul Rahman menarik nafas dalam-dalam.
Selepas itu, dia bersungguh-sungguh mencari ilmu agama sehingga ke sekolah pondok di Kelantan. Selepas beberapa tahun, dia diberi peluang mengajar ilmu agama kepada Orang Asli yang baru memeluk Islam di Hulu Klang, Selangor.
"Saya sedih melihat keadaan mereka yang kurang memahami ajaran Islam sehingga mendorong saya menubuhkan Asrama Baitul Ummah lima tahun lalu," ujarnya.
Asrama itu bukan sekadar membantu Orang Asli tetapi juga anak yatim, fakir miskin dan mualaf. Dibuka pada tahun 2004, asrama ini kini mempunyai 400 orang penghuni.
"Tetapi 50 orang sahaja yang tinggal di asrama kerana ruang tidak mencukupi. Cuma persekolahan mereka tetap dibiayai dan dipantau.
"Saya ingin mereka berjaya dunia dan akhirat. Jika membuat kesilapan, mereka akan dihukum sebagai satu pengajaran.
"Syukur ada yang telah melanjutkan pelajaran ke universiti mahupun kolej swasta. Inilah (Baitul Ummah) bekalan saya di akhirat nanti," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment