Pembalakan jejas Hutan Simpan Bintang Hijau

Pembalakan jejas Hutan Simpan Bintang Hijau

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Kawasan tadahan punca utama bekalan air Kampung Changkat Berangan terancam

LENGGONG: Lebih 500 penduduk Kampung Changkat Berangan, Perak membantah rancangan untuk membalak di Hutan Simpan Bintang Hijau kerana kawasan tadahan air itu adalah punca utama bekalan air untuk kegunaan harian masyarakat setempat melalui projek air masyarakat.

Berdasarkan bukti penandaan zon pembalakan, kawasan tanah hutan simpan seluas 630 hektar itu sudah pun diwarta sebagai kawasan pembalakan sejak tahun lalu ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman, berkata pihaknya pernah menghantar bantahan kepada Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan kerajaan negeri bertindak membekukan projek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sejak pemerintahan negeri diambil alih Pakatan Rakyat pada 2008, rancangan projek itu dibuka semula dan penduduk mendapati kerja menandakan kawasan mengikut zon sudah pun dimulakan pada tahun yang sama.

"Ini sajalah punca bekalan air penduduk, kami gunakan untuk kegunaan harian, bekalan air sawah dan kolam ternakan. Jika hutan simpan diteroka, kawasan tadahan air akan rosak dan punca air akan kering.

"Kami harap kerajaan baru Perak batalkan projek itu dan kekalkan ekosistem kawasan hutan di sini. Sudah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk bina kolam takungan dan laluan ke bukit berkenaan, kenapa perlu dimusnahkan," katanya.

Berdasarkan tinjauan Berita Minggu bersama penduduk di banjaran Bukit Bintang, memang ada banyak pokok balak yang sudah ditanda cat merah menunjukkan kawasan yang akan ditebang. Difahamkan, ia dilakukan syarikat pembalakan yang sudah diberikan hak mengeluarkan balak di situ.

Ketika ini, penduduk Kampung Changkat Berangan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Kangsar, bergantung sepenuhnya kepada projek bekalan air masyarakat yang menggunakan sistem paip yang disambung terus daripada punca air bukit untuk disalurkan ke rumah penduduk.

Mereka menikmati kemudahan itu sejak lapan tahun lalu dengan bayaran RM2 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan sebelum ini mereka berkongsi dengan punca bekalan air masyarakat di kawasan Lata Kekabu dan Lata Papan Kuak, tidak jauh dari situ.

Selepas jumlah penduduk bertambah dan bekalan air tidak mencukupi, satu lagi takungan air dibina di Kampung Changkat Berangan menggunakan paip getah yang disambung sejauh 12 kilometer.

Ketua Cawangan Umno Kampung Changkat Berangan, Abdul Hamid Hussin, berkata beberapa kawasan lain yang pernah mengalami masalah sama kini menyesal kerana membenarkan aktiviti membalak di hutan simpan berhampiran sumber air mereka mengakibatkan sumber air tercemar.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu masalah sama berulang di tempat mereka kerana penduduk memerlukan bekalan air bersih, walaupun sudah disediakan bekalan air paip oleh kerajaan negeri.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap pengerusi unit bekalan air masyarakat kampung, Ismail Mat Nali, berkata kerajaan negeri sebelum ini membelanjakan puluhan ribu menyediakan kolam takungan dan kemudahan laluan pejalan kaki ke bukit berkenaan.

"Kami yang jaga kawasan itu, bersihkan takungan setiap bulan atau setiap kali hujan lebat supaya kepala saluran paip tidak tersumbat. Jika projek membalak diteruskan, kami tidak boleh bagi jaminan jika berlaku sesuatu tindakan luar jangkaan," katanya.

Laluan ke kawasan takungan air itu sudah diturap melalui ladang kelapa sawit, manakala laluan berbukit pula disimen bagi memudahkan penduduk menyelenggara dan membersihkan kawasan.

0 comments: