Soal Jawab: 'Perjanjian isu amah perlu ditambah baik'
Oleh Ahmad Naim Tahir
KHAMIS lalu, Kerajaan Indonesia membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, gara-gara penderaan ke atas seorang amah negara itu, Siti Hajar Sadli, 33, satu lagi kes menggemparkan selepas nasib sama menimpa rakan senegaranya, Nirmala Bonat, lima tahun lalu. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar untuk mengulas perkembangan itu. BOLEH Tan Sri mengulas mengenai keputusan Kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.
Keputusan berkenaan dibuat kerana Kerajaan Indonesia memutuskan untuk melakukan penilaian terhadap penempatan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) penata laksana rumah tangga atau pekerja domestik dari negara kami ke Malaysia.
Untuk itu, buat sementara waktu kita menghentikan penempatan TKI dalam sektor berkenaan ke Malaysia sehingga dilakukan penambahbaikan atau kajian semula terhadap perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung perkara ini.
Isu ini akan dibincangkan dalam pertemuan Kumpulan Kerja Bersama atau Joint Working Group kedua-dua negara dalam waktu terdekat. Bagaimanapun, bagi pekerja domestik yang ketika ini sudah dalam proses penempatan, mereka akan tetap dihantar ke Malaysia kerana keputusan menghentikan penghantaran itu hanya membabitkan pengambilan baru.
Keputusan itu bagaimanapun mengundang tanggapan yang Indonesia cuba membuat ugutan kerana tahu rakyat Malaysia amat bergantung kepada pembantu rumah dari negara itu dan apakah undang-undang sedia ada di Malaysia masih tidak mencukupi untuk melindungi TKI.
Sebenarnya, penempatan TKI ke Malaysia bermanfaat bagi kedua-dua negara, baik Indonesia mahu pun Malaysia. Namun adalah menjadi kewajipan kerajaan mana pun, termasuk Indonesia untuk melindungi warga negaranya.
Oleh kerana itu, Kerajaan Indonesia berharap dengan melakukan penilaian atau penyempurnaan MoU berkenaan, perlindungan ke atas TKI dapat dipertingkatkan.
Berhubung undang-undang sedia ada di Malaysia untuk melindungi TKI, kami tidak dalam posisi untuk menilai apakah peraturan dan undang-undang berhubung tenaga kerja yang ada di Malaysia cukup untuk melindungi pekerja Indonesia.
Yang menjadi pertimbangan kami adalah masih ada pelbagai hal berkaitan dengan permasalahan pekerja domestik Indonesia di Malaysia yang memerlukan penambahbaikan dan harus ditingkatkan seperti hak untuk mereka bercuti, kenaikan gaji, isu penyimpanan pasport dan lain-lain.
Bagaimana Tan Sri melihat keputusan Kerajaan Malaysia melarang agensi pembantu rumah mengambil pekerja yang tiada pendidikan asas bagi mengelak masalah komunikasi ketika berkhidmat dan membendung pelbagai masalah seperti penderaan yang dipercayai berpunca akibat kegagalan memahami arahan majikan.
Kami bersependapat dengan keputusan Kerajaan Malaysia yang mewajibkan pekerja memiliki pendidikan dan keterampilan. Dalam Undang-Undang Penempatan TKI yang digubal di Indonesia, kami sudah mewajibkan setiap TKI supaya terlebih dulu diberikan latihan dan dibekalkan dengan pengetahuan serta keterampilan yang diperlukan sebelum mereka dihantar ke luar negara.
Selain itu, semua majikan juga diwajibkan memberi cuti rehat sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah atau menggantikan dengan bayaran gaji sehari. Apakah dengan memberi cuti rehat itu akan menyelesaikan masalah penderaan.
Penderaan adalah perbuatan jenayah yang boleh berlaku di mana-mana pun, tetapi penderaan yang berlarutan seperti yang dialami oleh sesetengah pembantu rumah warga Indonesia seperti Nirmala Bonat dan Siti Hajar yang didera hampir tiga tahun akan dapat dicegah jika TKI ada peluang untuk bersosial atau berkomunikasi dengan orang lain.
Bagi kes penderaan yang berlarutan seperti itu, sudah tentu ia sukar diketahui pihak lain kerana mangsa tidak mempunyai peluang atau kesempatan untuk keluar dan bertemu dengan orang lain, misalnya pada hari cuti.
Ada juga majikan bimbang jika memberi cuti sebegitu, pembantu rumah berpeluang berkumpul, terbabit dengan jenayah atau mungkin juga berpakat melarikan diri daripada majikan. Apa pendapat Tan Sri.
Pada dasarnya, majikan yang baik tentu memahami beban kerja serta psikologi setiap manusia yang memerlukan waktu rehat dan suasana kebebasan, ia sifat hakiki manusia. Seandainya majikan memperlakukan tenaga kerja sebagai sebahagian daripada keluarga, mungkin pekerja itu tidak perlu diberikan cuti, tetapi kerana majikan pada umumnya tidak memberikan waktu rehat kepada pembantu rumah, maka perlu harus diatur kesempatan untuk pekerja itu berehat.
Seandainya ada majikan bimbang kesempatan bercuti itu digunakan oleh pembantu rumah untuk melakukan perbuatan jenayah, itu sebenarnya adalah tugas pihak berkuasa, dalam hal ini pihak polis (untuk mengambil tindakan).
Bila terbukti (melakukan jenayah), pelakunya harus dihukum sesuai dengan ketentuan undang-undang dan perlakuan itu. Dalam usaha menangani perkara negatif sedemikian, semua pihak perlu bekerjasama, baik kerajaan mahupun agensi (pembantu rumah).
Bagaimana Tan Sri melihat cadangan sesetengah pihak yang berpendapat kes penderaan pembantu rumah boleh diatasi jika pembantu beragama Islam ditempatkan bersama majikan Islam, bukan seperti sekarang di mana pembantu Islam juga dibenarkan bekerja dengan majikan bukan Islam.
Kerajaan Indonesia tidak menetapkan bahawa pekerja Muslim hanya dibenarkan bekerja dengan majikan Muslim. Yang penting adalah adanya kesedaran daripada majikan untuk menghargai hak beragama dan beribadah pembantu rumah mereka.
Bagaimanapun, jika cadangan supaya pekerja beragama Islam dari Indonesia hanya dibenarkan bekerja dengan majikan yang juga beragama Islam dianggap baik oleh Kerajaan Malaysia, maka kami akan menyokongnya.
Akhir sekali, bagaimana pula peranan Kerajaan Indonesia untuk sama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah kebajikan tenaga kerjanya di Malaysia supaya wujud situasi menang-menang kepada kedua-dua negara.
Situasi menang-menang kepada kedua-dua negara itulah yang kita inginkan. Oleh kerana itu, penyempurnaan MoU antara Indonesia dan Malaysia berhubung pekerja domestik Indonesia selepas ini diharapkan dapat mencapai rumusan terbaik supaya dalam satu aspek, hak TKI terlindung dan dalam aspek yang lain, majikan di Malaysia akan mendapat pekerja dengan kelayakan yang sesuai seperti dikehendaki mereka.
0 comments:
Post a Comment