Ancaman luar biasa keselamatan, bencana jejas kehidupan manusia
Oleh Zaini Mohd Said
SALAH satu tanggungjawab terpenting mana-mana kerajaan dan angkatan tentera adalah untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat dilindungi daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ia satu tanggungjawab yang berat, malah sejak kebelakangan ini sudah menjadi bertambah berat dan sukar lagi untuk dilaksana dengan berkesan.
Kecenderungan beberapa kuasa besar bertindak secara rakus dan unilateral terhadap negara-negara yang lemah menjadi salah satu penyebab. Keselamatan negara dan rakyat bertambah dirumitkan lagi oleh tindak-tanduk kumpulan militan dan pengganas antarabangsa yang operasi mereka boleh melangkaui sempadan dan diburu pula negara-negara lain. Kesan kekerasan dan keganasan melampau yang dilakukan oleh mereka itu kerap dilaporkan menerusi media semasa sejak sekian lama.
Pada masa sama, persaingan untuk menguasai kawasan zon ekonomi bertindih serta merebut hasil sumber asli yang berada di dalamnya yang ini sudah semakin berkurangan boleh dan menimbulkan masalah hingga tercetus perselisihan faham dan konflik ketenteraan antara negara yang bertelagah biar pun mereka yang berjiran rapat.
Malaysia sebagai contoh, kini berdepan pertikaian dengan beberapa negara serantau termasuk juga dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam perkara ini. Yang terakhir berlaku adalah persoalan hak eksploitasi di kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi yang sedang cuba diatasi oleh kedua-dua pihak melalui usaha diplomasi awam dan tentera.
Perubahan ketara iklim dunia oleh sebab pemanasan global juga membawa masalah besar buat semua. Akibat daripada fenomena pemanasan ini, maka berlaku banjir besar di tempat tertentu dan kemarau berpanjangan di tempat lain. Bencana-bencana seperti ini dan juga yang lain seperti kejadian gempa bumi, tsunami, runtuhan tanah, bangunan dan sebagainya itu banyak juga menjejas kehidupan manusia.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila bencana itu memusnahkan tanaman dan pengeluaran hasil makanan yang secara langsung mengancam kehidupan manusia. Semuanya ini dapat membuat manusia menjadi marah dan tidak berfikiran secara rasional hingga sanggup menentang dan melawan pihak berkuasa mahu pun kerajaan kerana kelaparan dan kesusahan hidup. Angkatan tentera selalu dibabitkan dalam keadaan atau senario sedemikian untuk membantu pihak berkuasa awam dengan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada padanya.
Keseluruhan keadaan ini pula tidak mungkin berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang. Malah, amat besar kemungkinan ia akan menjadi lebih getir dan berbahaya lebih-lebih lagi bagi mana-mana kerajaan atau negara yang tidak bersedia untuk menghadapinya dengan segala rancangan, kemampuan, serta dana yang mencukupi untuk mengurangkan kesan sukar akibatnya.
Keadaan semasa sudah dianggap serius sehinggakan ramai penganalisis keselamatan berpendapat bahawa dunia dalam dekad awal abad ke-21 ini sedang berada pada persimpangan jalan yang sungguh berbahaya. Sekiranya keadaan tidak ditangani secara bijak dan berterusan, maka dunia boleh terjerumus ke dalam kancah keperitan jika tidak huru-hara yang sangat besar dan meluas tidak lama selepas itu.
Ancaman ketenteraan yang konvensional akan terus kekal menghantui keselamatan mana-mana negara, selagi manusia sanggup bermusuhan dan mampu melakukan kekerasan terhadap manusia yang lain. Angkatan tentera dan sistem pertahanan negara diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman-ancaman seperti ini yang boleh berupa serangan ketenteraan konvensional dari negara lain, keadaan tidak tenteram di dalam negeri serta juga melakukan tugas-tugas sekunder membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam semula jadi dan bencana lain.
Bagi ancaman ketenteraan, apa yang nyata bahawa kemajuan pesat yang tercapai dalam teknologi pembinaan persenjataan dan cara berperang sudah meningkatkan kuasa membunuh dan memusnah senjata berkenaan sehingga menjadi begitu kuat dengan kesan yang dahsyat sekali.
Malangnya, penduduk awam yang bukan 'combatant' atau musuh, turut menjadi korban, mendapat cedera dan mengalami kesengsaraan akibat penggunaan senjata-senjata ini yang kadang-kadang tersasar atau dengan sengaja ditujukan kepada mereka, kediaman mereka dan juga segala kemudahan lain yang ada.
Ia sudah pun jelas terbukti berlaku di Iraq dan Afghanistan apabila Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang dan menakluk negara berkenaan. Serangan Israel ke atas Gaza juga sama apabila ramai mangsa yang mati dan cedera adalah penduduk awam Palestin dan bukannya pejuang Hamas. Peperangan menggunakan cara dan senjata konvensional sememangnya boleh menyebabkan kematian yang ramai serta kemusnahan besar kepada tentera dan juga awam.
Oleh kerana tidak dapat menandingi kemampuan dan taktik konvensional pihak lawan, maka ancaman tidak konvensional dan 'assymetric' diwujudkan oleh mereka yang lemah. Strategi dan taktik ini memang lebih banyak digunakan puak pelampau dan pengganas yang mengeksploitasi teknologi persenjataan, komunikasi dan elektronik yang sedia ada, juga bersama rakyat yang menyokong mereka, mampu mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar yang ada pada mereka.
Mereka memperjuangkan matlamat mereka ini melalui peperangan gerila, melakukan pembunuhan secara selektif, mengguna pengebom bunuh diri, bom kereta, keganasan terhadap penduduk awam serta juga dengan melakukan demonstrasi dan protes besar-besaran yang berpanjangan. Ia termasuk juga perbuatan sabotaj, pengkhianatan dan sebagainya. Apa yang menakutkan semua, adalah kemungkinan yang mereka sedang berusaha memperoleh dan menggunakan persenjataan nuklear, biologi dan kimia terhadap seteru mereka.
Semua yang dinyatakan ini adalah cabaran dan ancaman serius. Ia juga memberi petunjuk kepada keperluan untuk dipertingkatkan lagi kapasiti dan kemampuan angkatan tentera supaya benar-benar dapat mempertahankan negara dan melindungi rakyat. Pertahanan dan perlindungan ini bukan saja daripada ancaman serangan konvensional, tetapi juga daripada tindakan mana-mana pihak menggunakan peperangan, persenjataan, serta muslihat yang tidak konvensional atau pun 'asymmetric.' Ini termasuk jugalah dengan mengguna persenjataan nuklear, biologi dan kimia atau pun penentangan melalui demonstrasi yang sangat besar oleh mana-mana pihak sekali pun.
Dalam menghadapi dan menangani segala cabaran dan ancaman yang diterangkan itu, jelas ada menunjukkan kepada keperluan untuk disediakan perlindungan dan pertahanan bagi orang awam yang sering menjadi mangsa persenjataan dan taktik perang pihak yang bersengketa. Agak nyata bahawa pihak tentera juga perlu meningkatkan kapasiti dan kemampuan dalam semua aspek pengurusan bencana alam semula jadi dan yang disebabkan angkara manusia agar benar-benar berkesan.
Adalah diharap agar semua pihak terbabit secara terus di dalam bahagian pertahanan dan keselamatan negara dapat memikirkan akan apa yang sudah dinyatakan dan berbuat sesuatu dengan segera.
Penulis ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat
0 comments:
Post a Comment