Cabaran tangani isu setinggan
APABILA SENATOR DATUK RAJA NONG CHIK DATUK RAJA ZAINAL ABIDIN dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, ramai tertanya-tanya siapakah beliau.
Ia kerana dalam dunia politik walaupun memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, namun Raja Nong Chik tidaklah begitu menonjol. Bagaimanapun semua itu hanya menjadi catatan, apa yang lebih penting ialah amanah yang dipertanggungjawab kepada beliau sebagai menteri.
Walaupun seorang yang dilihat sentiasa tersenyum dan bersikap ramah, namun Raja Nong Chik seorang yang serius dalam melaksanakan tugasnya, apatah lagi beliau bertanggungjawab memantau pembangunan dan segala masalah di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID, di Putrajaya, Raja Nong Chik menumpukan perhatian kepada persoalan mengenai masalah setinggan di Kuala Lumpur.
Katanya, beliau ingin memastikan matlamat sifar setinggan seperti mana yang disasarkan oleh kerajaan akan mencapai kejayaan.
Biarpun kini jumlah mereka tidaklah ramai tetapi pihak kerajaan terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah untuk memindahkan mereka.
‘‘Tugas kita menjadi semakin mencabar apabila ada ‘hero-hero’ yang muncul membela golongan ini, walaupun kita sudah melakukan tindakan mengikut undang-undang,’’ katanya
MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat pelantikan ini dan apakah cabaran yang bakal dihadapi?
RAJA NONG CHIK: Cabaran utama ialah para penduduknya dilihat ke hadapan dan up to date dari segi pemikiran dan permintaan berbanding di bandar lain. Saya berpendapat, ini satu tugas yang berat. Apatah lagi dengan kedudukan selepas pilihan raya lepas di mana 10 dari 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan terlepas kepada pembangkang. Ini mungkin akibat perasaan tidak puas hati rakyat yang diterjemahkan dalam pilihan raya.
Oleh itu tugas utama saya sekarang ialah mengembalikan keyakinan rakyat Kuala Lumpur kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Dari segi perkhidmatan dan keprihatinan ia perlu diterjemah mengikut gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Maka atas mesej ini kita cuba menggerakkan program yang berorientasikan people centric. Kementerian kini menjadikan masyarakat dan warga Kuala Lumpur sebagai matlamat utama dan program yang telah dan akan digerakkan lebih terarah kepada rakyat.
Saya sendiri banyak turun ke padang dalam tempoh 100 hari untuk mendapatkan gambaran dan maklumat sebenar selain daripada laporan yang diterima. Ia bertujuan mengetahui apa masalah yang dihadapi dan kesukaran yang dilalui mereka setiap hari. Alhamdulillah, saya mendapat banyak maklum balas setakat ini dan selepas selesai tempoh 100 hari tadi, 100 hari seterusnya akan saya habiskan untuk menyelesaikan masalah yang saya dapati semasa turun ke padang.
Oleh itu saya akan cuba menyelesaikan atau membuat satu outcome dalam perkara yang saya kutip semasa membuat tinjauan dan turun padang kerana ada masalah yang melibatkan penguatkuasaan dan juga undang-undang. Perkara-perkara sebegini akan diberi keutamaan. Pihak kementerian juga akan cuba menyelesaikan masalah lain seperti setinggan .
Sejauh manakah seriusnya masalah setinggan ini?
RAJA NONG CHIK: Ia tidaklah satu masalah yang serius seperti dahulu. Pada 10 tahun lepas perangkaan setinggan yang wujud adalah sekitar 23,000 orang. Jumlah ini berkembang sebanyak itu akibat daripada pertambahan ahli keluarga dan mungkin juga didorong oleh faktor kawan-kawan dan saudara mara yang berhijrah. Ini membabitkan orang tempatan.
Ada juga masalah setinggan yang melibatkan bukan warga negara dan ada yang menggunakan cara yang sah dan ada yang haram. Kebanyakan mereka ini adalah penyewa. Pada asalnya rumah setinggan ini diduduki oleh penduduk tempatan dan apabila mereka ini telah berpindah dan mungkin mempunyai rumah sendiri maka warga asing memenuhi setinggan ini.
Namun kini yang tinggal hanyalah sekitar 4,833 orang sahaja dan jumlah itu hanya membabitkan setinggan di dalam tanah kerajaan. Ia tidak termasuk jumlah setinggan yang tinggal di tanah swasta dan pihak kementerian tidak mempunyai data tentang itu. Tapi saya rasa jumlahnya tidak mungkin lebih daripada 5,000 orang.
Kawasan manakah yang mempunyai jumlah setinggan paling banyak?
RAJA NONG CHIK: Secara umumnya penempatan setinggan ini berselerak di Batu ada, di Segambut ada. Di kebanyakan kawasan, rundingan dengan pihak setinggan telah bermula termasuklah di Jinjang yang terlalu sensitif. Mereka ini hanya berjumlah 17 orang itupun kerana hendak buat jalan hubungan antara Kepong dan Segambut. Tetapi berdekatan situ terdapat lebih kurang 500 orang yang masih tinggal di atas tanah milik kerajaan.
Setakat ini setinggan baru boleh dikatakan hampir tidak ada dan kebanyakan mereka yang menetap di kawasan setinggan ini adalah orang lama dan menetap sekitar 20 ke 30 tahun. Kebanyakan mereka yang saya berurusan terdiri daripada generasi kedua di mana anak kepada generasi pertama ini telah pun berkeluarga.
Apakah mungkin mereka ini tidak faham kenapa perlu berpindah?
RAJA NONG CHIK: Kita sudah menyasarkan setinggan sifar pada tahun ini. Itu adalah sasaran yang telah dibuat oleh Kabinet dan kementerian sebelum saya masuk. Namun saya rasa agak mustahil untuk dicapai dan saya akan cuba selesaikan pada 2010.
Sebab utama mereka ini perlu berpindah adalah kerana pembangunan. Kalau dibiarkan setinggan-setinggan ini atas apa-apa sebab sekali pun ia akan menjadi seperti Kampung Baru di mana disekelilingnya telah berlaku pembangunan namun di tengah-tengahnya belum dibangunkan.
Oleh itu mereka yang masih tinggal di kawasan setinggan ini akan ketinggalan dari pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Namun biasalah manusia apabila telah tinggal di sesuatu kawasan untuk tempoh yang lama bila hendak pindah agak sukar dan menolak mungkin atas alasan nostalgia. Apatah lagi mereka tidak perlu membayar apa-apa seperti sewa dan sebagainya kecuali bil elektrik dan air.
Namun dalam usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai World Class City perkara mengenai setinggan ini perlu diatasi segera. Dan usaha ini akan diteruskan. Jika 10 tahun lepas jumlah setinggan adalah sekitar 23,000 orang namun ia berjaya dikurangkan dengan nyata kepada kurang daripada 5,000 orang.
Bagaimana pula dari segi rundingan kerana kita tahu penduduk setinggan ini meminta bermacam-macam permintaan sebelum dipindahkan?
RAJA NONG CHIK: Pendekatan kementerian dan DBKL adalah jelas dan kami telah berunding dengan pihak terbabit berkali-kali. Saya sendiri terlibat dalam hal ini sebelum menjadi menteri lagi. Saya rasakan DBKL merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang paling fasih tentang pemindahan setinggan di negara ini. Saya yakin dalam hal pemindahan setinggan ini banyak masa dan kaedah telah digunapakai.
Malah dalam kes setinggan di Jinjang pihak DBKL telah memberi notis selama setahun dan pelbagai perbincangan telah berlangsung dan macam-macam permintaan dikemukakan. Ada yang kita setuju dan ada yang tidak. Bagi saya DBKL juga banyak bertolak ansur mengenai isu setinggan ini. Tetapi mereka yang mewakili penduduk juga tidak perlu mengambil kesempatan.
Ini kerana ada antara mereka yang mengambil kesempatan daripada gagasan Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan. Namun kita perlu lihat rakyat kelompok mana kerana hasil dari pembangunan yang dilaksanakan, semua golongan masyarakat akan mendapat faedah dan bukan hanya segelintir yang tinggal di kawasan setinggan.
Mengambil contoh apa yang berlaku di Jinjang, hanya kerana 17 orang, 170,000 orang akan merana kerana jalan tidak dapat disiapkan. Keadaan sekarang makin mengelirukan kerana adanya hero-hero yang berjuang supaya mereka ini tidak dipindahkan. Sebelum ini keadaan tidak begini. Berdasarkan pengalaman saya sendiri di kawasan setinggan Kampung Limau, di Lembah Pantai, mereka minta 10 syarat.
Tetapi atas prinsip tanggungjawab saya beritahu mereka adalah mustahil untuk memenuhi semua tuntutan. Dari 10 hanya dua syarat yang saya boleh perjuangkan iaitu diberikan rumah flat sebagai ganti dan pembelian rumah pada masa hadapan. Namun ada hero yang cuba menuntut pelbagai tuntutan termasuk yang bukan-bukan.
Dalam membuat tuntutan ini kita perlu tahu had yang ditetapkan dan tidak boleh melampaui batas. Secara asasnya kerajaan tidak bertindak zalim dengan menghalau mereka tanpa sebarang pampasan dan ganti rugi, walaupun mereka ini menetap di kawasan tanah milik kerajaan.
Kerajaan akan memberikan mereka rumah flat, sekarang mereka perlu menyewa pada kadar yang sangat murah dan pada masa depan mungkin mereka boleh membeli rumah tersebut. Kementerian juga memberi pampasan sebanyak RM1,000. Seterusnya DBKL akan membantu dari segi pemindahan dengan menyediakan lori dan sebagainya. Maka kos pemindahan mereka tidaklah besar. Ada tuntutan yang boleh diberi dan ada yang tidak. Dan berdasarkan pengalaman saya Alhamdulillah, semua ini berjaya diselesaikan.
Bagaimana dengan hero-hero yang terdiri dari pihak pembangkang. Apakah alasan mereka bertindak sedemikian?
RAJA NONG CHIK: Seperti yang berlaku di Jinjang, mereka ini dibela atas dasar politik. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang apa yang dialami oleh penduduk setinggan.
Jika dilihat dari sudut tertentu seperti kos menambah baik rumah, penduduk paling miskin pun mungkin telah menghabiskan sebanyak RM10,000 hingga RM20,000. Mungkin yang berduit sedikit membelanjakan sehingga RM100,000.
Tetapi mereka harus ingat mereka tinggal di kawasan tanah kerajaan dan ada yang mampu berbelanja sehingga RM100,000 untuk pengubahsuaian rumah mereka.
Oleh itu saya tidak nampak kenapa mereka tidak boleh berpindah ke flat yang disediakan. Hero-hero ini hanya mengambil kesempatan khususnya dalam keadaan kerajaan BN di Kuala Lumpur menjadi minoriti. Itu sesuatu yang jelas kerana sebelum pilihan raya umum Mac 2008 keadaan sebegini tidak berlaku. Jika dilihat kebanyakan penduduk di setinggan ini mampu memiliki kenderaan dan ada yang memandu Mercedes.
Ini menunjukkan bahawa ia sudah menjadi satu sikap dan amalan untuk mengambil kesempatan. Pada hal ada di antara mereka yang mampu memiliki rumah kos rendah atau lebih dari itu. Tetapi mereka tidak mahu kerana ingin mengambil kesempatan untuk buat bermacam-macam permintaan daripada kerajaan. Ditambah pula dengan sokongan dari hero-hero ini ia akan membuatkan keadaan dilihat semakin sukar untuk diselesaikan walaupun mereka ini tinggal di kawasan yang merupakan milik kerajaan.
Jika keadaan sebegini berterusan ia akan menggugat perancangan pembangunan yang telah dirancang.
Bagaimana dengan masalah pendatang yang tinggal di setinggan. Apakah kerajaan tidak boleh bertindak tegas terhadap mereka?
RAJA NONG CHIK: Bukan pihak kami sahaja akan mengambil tindakan terhadap pendatang tetapi pihak berkuasa dan Kementerian Dalam Negeri juga akan turut mengambil tindakan. Masalahnya mereka ini menyewa dan bukan penduduk asal. Masalahnya ialah tuan punya rumah yang disewa kepada pendatang ini, agak sukar bagi kita untuk mengesan.
Kita tidak ada masalah untuk bertindak tegas terhadap pendatang ini tetapi masalah yang timbul ialah tuan rumah yang menyukarkan keadaan dengan menyewa kepada pendatang. Ada pula yang berselindung dengan menyamar sebagai rakyat tempatan dan mengaku bersaudara. Namun mereka tidaklah menyukarkan tugas kami apabila diminta pindah dari kawasan setinggan. Yang menjadi masalah sekarang terutama apabila Kuala Lumpur dikuasai oleh pembangkang, mereka ini yang cuba bertindak hero tanpa mempedulikan undang-undang bagi meraih sokongan penduduk setempat.
0 comments:
Post a Comment