Siapa harus tanggung kenaikan kos ibadat haji?

Siapa harus tanggung kenaikan kos ibadat haji?

ADA dua kumpulan penyimpan yang menyertai Lembaga Tabung Haji. Mereka mempunyai matlamat yang berbeza.

Kumpulan pertama ialah mereka yang mahukan perkhidmatan dan kemudahan apabila hendak menunaikan ibadat haji. Satu lagi mahu menjadikan Tabung Haji sebagai saluran pelaburan bumiputera secara berkesan.

Kedua-dua kumpulan ini mempunyai matlamat tersendiri dan mempunyai kepentingan yang berbeza mengenai isu subsidi kepada jemaah haji.

Mereka yang menggunakan Tabung Haji sebagai ejen untuk menunaikan ibadat haji, sentiasa berharap agar kos tambahan mengerjakan Rukun Islam kelima itu ditanggung oleh Tabung Haji.

Sementara penyimpan yang menggunakan Tabung Haji sebagai ejen pelaburan, mereka tentunya tidak mahu keuntungan simpanan mereka itu digunakan secara keterlaluan. Ini kerana ibadat haji hanya diwajibkan kepada mereka yang terdaya dan berkemampuan.

Ia bermakna, jika seseorang itu tidak mampu, maka ibadat haji sudah tidak menjadi satu kewajipan untuknya.

Oleh itu, bagi kumpulan kedua ini, tidak timbul isu subsidi kepada jemaah haji seperti yang hangat diperkatakan ketika ini.

Bagi kumpulan ini, sekiranya tidak mampu maka tidak perlulah memaksa diri untuk melakukannya.

Maka juga tidak seharusnya mendesak Tabung Haji menanggung kos tambahan akibat pelbagai kenaikan dalam pengendalian urusan ke tanah suci itu.

Bagi saya, kerajaan sepatutnya menanggung kos perkhidmatan kesihatan, keselamatan dan sosial kepada rakyat Malaysia semasa berada di Mekah atau Madinah untuk menunaikan ibadah haji.

Alasannya, sebahagian besar jemaah haji menggunakan khidmat hospital kerajaan sewaktu di Malaysia. Mungkin bajet perubatan itu perlu dipindahkan kepada Kementerian Kesihatan. Kerajaan sepatutnya memperuntukkan perkara itu dalam bajet tahunan.

Kerajaan sepatutnya mengambil alih hospital dan klinik Tabung Haji di Mekah dan Madinah kerana pengendalian hospital dan klinik itu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan.

Difahamkan selama ini Tabung Haji menanggung kos tersebut. Ia diambil daripada keuntungan pelaburannya.

Keadaan itu menyebabkan dividen pelabur Tabung Haji tidak berapa memberangsangkan setiap tahun padahal jumlah simpanan sentiasa tinggi.

Tabung Haji telah memikul beban kewangan lebih daripada sepatutnya kerana telah membayar cukai berganda iaitu cukai hasil perniagaan dan zakat. Mengapa harus terus berkorban?

Pengurusan Tabung Haji mestilah mengeluarkan perangkaan mengenai perkara-perkara di atas supaya jemaah haji dan pelabur Tabung Haji mendapat gambaran jelas.

Tidak ada sebab pelabur Tabung Haji mahukan dividen sahamnya menurun.

Juga tidak ada sebab bagi seseorang Islam yang tidak memenuhi syarat kemampuan terutamanya kewangan, meminta pelabur lain di Tabung Haji menanggung sebahagian kos hajinya.

Sekiranya desakan agar Tabung Haji menanggung kos tambahan itu terus dilakukan, ia seolah-olah menunjukkan bahawa Islam mewajibkan ibadah haji walaupun ke atas mereka yang tidak mampu.

ABDUL MANAF AHMAD

Kuala Lumpur

0 comments: