Sejarah LTTE

Sejarah LTTE

HARIMAU Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran pada 1975 dan serangan pertama dilakukan olehnya sendiri dengan menembak mati Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiyappah.

Pada tahun 1984, LTTE menyertai Barisan Pembebasan Kebangsaan Eelam (ENLF) yang turut dianggotai Pertubuhan Pembebasan Tamil Eelam (TELO), Pertubuhan Revolusi Pelajar Eelam (EROS) dan Barisan Pembebasan Revolusi Rakyat Eelam (EPRLF).

Bagaimanapun, LTTE telah 'menawan' kumpulan lain dua tahun kemudian dan menggesa mereka menyertai perjuangannya untuk menubuhkan negara Tamil di Sri Lanka.

New Delhi mula campur tangan pada 1987 atas desakan rakyat berbangsa Tamil, ditambah dengan kedudukan Sri Lanka yang sangat dekat iaitu hanya 31 kilometer dari persisiran pantai India.

Penghantaran bekalan makanan ke Jaffna dan pasukan pengaman oleh India dalam membantu Sri Lanka bagi menyegerakan proses penyerahan senjata pemberontak, bagaimanapun gagal memujuk LTTE walaupun kebanyakan kumpulan lain menyatakan persetujuan.

Pertempuran selama tiga tahun akhirnya memaksa pasukan pengaman India meninggalkan Sri Lanka atas permintaan Colombo sendiri pada 1990.

LTTE semakin digeruni apabila serangan berani mati oleh seorang anggota wanitanya yang memakai pakaian dalam dilengkapi bom berjaya membunuh Perdana Menteri India ketika itu, Rajiv Ghandi pada 21 Mei 1991 di Madras.

Serangan itu dilihat sebagai balas dendam terhadap campur tangan India dalam pemberontakannya.

Mendiang Presiden Sri Lanka, Ranahingse Premadasa mengalami nasib serupa dua tahun kemudian, juga oleh pengebom berani mati wanita, dalam satu perarakan pada 1 Mei 1993.

Bibit perdamaian mulai muncul pada tahun 2001 ketika Ranil Wickramasinghe dilantik menjadi Perdana Menteri Sri Lanka dengan tindakan pertama beliau mengadakan perjanjian gencatan senjata dengan LTTE.

Bagaimanapun keadaan tenang hanya bertahan selama kira-kira 20 bulan akibat pergolakan politik antara parti di Sri Lanka menyaksikan Presiden Sri Lanka ketika itu, Chandrika Kumaratunga menggantung Parlimen Sri Lanka pada 4 November 2003.

Wickramasinghe ketika itu sedang mengadakan lawatan rasminya ke Amerika Syarikat apabila Kumaratunga mengerahkan tentera mengambil alih kerajaan serta meletakkannya di bawah perintah darurat.

Sekutu Kumaratunga, Mahinda Rajapakse menggantikan beliau sebagai Presiden apabila menang tipis ke atas Wickramasinghe pada 2005 dan terus mengamalkan pendekatan keras terhadap LTTE selepas gagal mencapai penyelesaian melalui rundingan.

Rundingan damai yang dijadualkan di Oslo, Norway pada tahun 2006 juga ditolak LTTE yang enggan bertemu dengan delegasi kerajaan, seterusnya membawa lebih banyak serangan berani mati dan tindakan ketenteraan berterusan oleh kerajaan Sri Lanka.

Tentera kerajaan memulakan operasi besar-besaran pada November 2008 selepas secara rasmi menarik diri dari gencatan senjata pada Januari tahun yang sama dan berjaya menawan 'ibu negeri' LTTE, Kilonochchi.

Dikalahkan pada 18 Mei dengan pengasas dan ketuanya, Prabhakaran terbunuh ketika cuba melarikan diri dari zon perang dengan menggunakan jip dan ambulans bersama dua anggota kanan LTTE. - MOHAMAD FIKRI ROSLY

0 comments: